AntarabangsaIsu Semasa

Vatican Dedah Kewujudan ‘Garis Panduan Rahsia’ Bagi Paderi Yang Mempunyai Anak

Vatican telah mendedahkan bahawa ia mempunyai ‘garis panduan rahsia’ bagi paderi-paderi yang mempunyai anak, walaupun mereka telah mengangkat sumpah untuk tidak mendirikan rumah tangga atau terlibat dalam sebarang hubungan seksual.

“Saya boleh mengesahkan bahawa garis panduan ini wujud; ia adalah satu dokumen untuk kegunaan dalaman,” kata jurucakap Vatican, Alessandro dalam satu kenyataan kepada CNN baru-baru ini.

Tambah beliau, dokumen tersebut juga bukan untuk terbitan umum.

Isu kewujudan garis panduan Vatican untuk paderi-paderi yang mempunyai anak pada asalnya dilaporkan oleh akhbar The New York Times.

Laporan ini disiarkan dua minggu selepas Pope Francis mengakui buat pertama kali bahawa kes rogol dan penderaan seksual ke atas biarawati oleh paderi dan bishop berlaku dalam Gereja Katolik.

“Saya mempercayai bahawa ia mungkin masih dilakukan. Ia bukan satu perkara di mana apabila kita menyedari kewujudannya, maka ia terus berakhir.

“Kita telah berusaha untuk menangani perkara ini buat masa yang lama,” kata Francis dalam satu sidang media sambil menambah bahawa usaha perlu ditingkatkan lagi.

Pada Khamis ini, bishop-bishop kanan Katolik dari seluruh dunia akan bertemu di Rom untuk menghadiri sidang kemuncak selama empat hari bagi membincangkan isu penderaan seksual yang dilakukan oleh paderi.

Sementara itu, Vincent Doyle, anak kepada seorang paderi Katolik memberitahu The New York Times bahawa dia telah ditunjukkan dokumen berkenaan ketika berada di Rom untuk menuntut keadilan bagi anak-anak paderi.

Secara rasminya, paderi-paderi Katolik perlu mengekalkan kehidupan bujang, dan menahan diri daripada sebarang bentuk aktiviti seksual.

Namun, peningkatan kes penderaan seksual yang membabitkan paderi di seluruh dunia menunjukkan bahawa sumpah mereka sering kali dilanggar.

Difahamkan, Doyle telah menubuhkan sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Coping International untuk mengumpulkan anak-anak Paderi.

Menurutnya, laman sesawang Coping International sudah mempunyai 50,000 pengguna di 175 buah negara.

Dalam pada itu, Gisotti menyatakan bahawa asas prinsip garis panduan tersebut adalah untuk “melindungi kanak-kanak” berkenaan.

Ujar beliau, di bawah peraturan rahsia tersebut, seorang paderi yang mempunyai anak diminta untuk meninggalkan jawatannya itu dan “mengambil tanggungjawab sebagai seorang bapa, mendedikasikan dirinya secara ekslusif kepada anak.”

Walau bagaimanapun, Andrea Ripa, timbalan setiausaha Congregation for the Clergy di Vatican berkata, garis panduan itu adalah lebih kepada satu formaliti berbanding arahan.

Sumber: CNN

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker