Gaya HidupIbu dan Anak

Tragedi Kanak-Kanak Berusia Dua Tahun Mati Tertusuk Pisau Harus Dijadikan Teladan

Sebuah kejadian menyayat hati telah membuka mata ibubapa untuk lebih berhati-hati dengan anak di rumah terutamanya apabila dapur rumah anda mudah untuk dijejakkan kaki oleh si kecil.

Kejadian yang berlaku pada Ahad lalu terjadi apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut selepas tertusuk pisau di perut apabila terpijak sebuah pinggan di lantai dan terjatuh lalu tertusuk pisau yang berada dalam pinggan tersebut.

Nur Qhaisara Medina Supian  tidak sedarkan diri selepas neneknya menarik keluar pisau sepanjang 15 sentimeter itu dan disahkan meninggal dunia di Hospital Parit Buntar.

 

Jika Tertusuk Pisau Jangan Keluarkannya Sendiri

Menurut pakar, jika sesiapa berada dalam situasi seperti ini, jangan keluarkan pisau tersebut kerana ia akan menyebabkan kecederaan yang lebih parah apatah lagi jika ia berada di bahagian abdomen (perut atau kawasan badan) ataupun berdekatan kawasan jantung.

Adalah lebih baik untuk membalut luka dan pastikan pisau/objek tajam tersebut di tempat yang sama sehingga rawatan susulan oleh doktor atau paramedik.

Walau bagaimanapun, anda harus memastikan terdapat tekanan pada kecederaan tersebut untuk memperlahankan pendarahan supaya badan mangsa dapat bertindak dengan membekukan darah pada kecederaan tersebut.

Seorang jururawat juga telah berkongsikan tindakan yang perlu dilakukan sekiranya berada dalam situasi ini di laman Facebook miliknya.

Menurut jururawat ini,  anda perlu lakukan tekanan yang berterusan pada kawasan luka untuk menahan darah daripada keluar dengan banyak.

Tekanan hendaklah tidak melebihi 10 minit dan dilepaskan bagi membolehkan aliran darah ke organ atau anggota tubuh dapat dikembalikan.

Jangan ikat anggota yang tercedera kerana ia boleh merosakkan tisu dan organ badan kerana tidak mendapat bekalan darah yang secukupnya.

Setelah itu tinggikan anggota yang luka dari paras jantung untuk mengurangkan darah mengalir keluar.

Jika Terkena Simbahan Asid, Apa Yang Perlu Dilakukan?

Selain daripada situasi sebegini, adakalanya kita akan berhadapan dengan perkara yang tidak boleh diduga contohnya terkena asid.

Pada satu masa terdapat banyak kes simbah asid oleh individu tidak dikenali telah berlaku di Malaysia, jadi apa yang perlu anda lakukan jika terkena simbahan asid ini?

Basuh dengan air yang banyak – menurut laman TheSun , jika hanya terdapat coke atau susu di situasi tersebut, anda boleh menggunakannya juga.

Pastikan anda bertindak pantas dan tidak menutup kawasan yang terkena asid tetapi jirus air sebanyak yang mungkin.

Singkirkan sebarang pakaian yang mungkin terkena asid. Jika lengan baju anda didapati basah, ia mungkin juga sudah terkena asid, oleh itu adalah lebih baik untuk mengoyak atau menanggalkannya.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Tersambar Api

Jika anda berada dalam situasi yang terkena api, pastikan anda singkirkan pakaian yang terkena api, baring di lantai dan pusing untuk menghapuskan api pada badan anda.

Setelah itu baru cepat-cepat jiruskan dengan air.

Akhir sekali dalam apapun situasi, cepat-cepatlah hubungi 999 untuk bantuan kecemasan. Pada masa yang sama, cepatlah bertindak dengan langkah di atas untuk mengelak situasi lebih parah berlaku.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button