AntarabangsaIsu Semasa

Dilema Membawa Pulang Pejuang IS Ke Negara Asal

Dalam satu pendedahan baru-baru ini, salah seorang pegawai kanan keselamatan Tunisia menyatakan bahawa lebih daripada 1,000 anggota pengganas telah kembali semula ke negara itu dari kawasan-kawasan konflik.

Mokhtar Ben Nasr, ketua Suruhanjaya Anti-Keganasan Kebangsaan Tunisia berkata, angka tersebut merupakan jumlah suspek pengganas yang telah pulang semula ke tanah air sejak tahun 2011.

Berita berhubung perkara ini muncul ketika United Kingdom dan negara-negara Eropah lain berdebat bagaimana untuk menangani kes berkaitan rakyat mereka yang ditahan ditahan di luar negara kerana disyaki menjadi anggota miilitan IS.

Memetik laporan Independent UK, ribuan lelaki dan wanita telah meninggalkan Eropah untuk menyertai ‘khalifah’ IS ketika ia diisytiharkan pada tahun 2014.

Pada waktu itu, pengaruh IS tersebar dengan luas, namun mereka telah kehilangan kubu kuat sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan hanya ‘memegang’ kawasan kecil di timur Syria.

Ramai anggota IS dilaporkan terbunuh atau kini berada di bawah tahanan Syrian Democratic Forces (SDF) yang diketuai oleh puak Kurdish.

Difahamkan, terdapat lebih daripada 800 warga Eropah yang ditahan di utara Syria, namun setakat ini, kerajaan negara masing-masing enggan membawa mereka pulang kerana bimbang mereka akan merisikokan keselamatan.

Salah seorang suspek pengganas adalah wanita warga Britain berusia 19 tahun bernama Shamima Begum, yang telah meninggalkan UK untuk menjadi anggota IS empat tahun lalu, di sebuah kem pelarian.

Setiausaha Dalam Negeri Britain, Sajid Javid sebelum ini pernah menegaskan bahawa beliau akan menyekat mana-mana rakyat British yang disyaki menyertai IS daripada pulang semula ke tanah air.

Bercakap tentang kes Begum, Javid berkata:

“Mesej saya jelas – jika anda telah menyokong organisasi pengganas di luar negara, saya tidak akan teragak-agak untuk menyekat kepulangan anda.”

Tetapi, pasukan-pasukan Kurdish dan juga Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggesa kerajaan Eropah untuk membawa pulang suspek-suspek berkenaan dan mendakwa mereka di negara masing-masing.

“Amerika Syarikat meminta Britain, Perancis, Jerman, dan sekutu-sekutu Eropah yang lain untuk mengambil semula lebih daripada 800 pejuang IS yang kami tangkap di Syria dan membicarakan mereka (di mahkamah),” kata Trump menerusi Twitter.

Tunisia turut mengalami kesukaran untuk mencari jalan penyelesaian dalam isu ini.

Penjara-penjara di negara itu yang sudah ‘dibanjiri’ banduan kini ditambah pula dengan penahanan suspek-suspek pengganas.

Presiden Tunisia, Beji Caid Essebsi sebelum ini pernah mencadangkan langkah untuk memberi pengampunan kepada pejuang-pejuang IS yang kembali semula ke negara itu, namun idea tersebut menerima bantahan keras daripada pelbagai pihak.

Berdasarkan anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 5,500 rakyat Tunisia telah meninggalkan negara itu untuk menyertai IS dan Al-Qaeda di Syria, Iraq dan Libya.

Sementara itu, Perkhidmatan Perisikan UK pula menganggarkan bahawa terdapat kira-kira 900 warganegaranya yang pergi ke Syria, dan sekitar 40% daripada jumlah itu kembali semula ke Britain.

Kebanyakan daripada mereka yang sudah pulang kini ditempatkan di bawah skim pemulihan yang dikendalikan oleh kerajaan, manakala hanya sejumlah kecil yang menghadapi pendakwaan.

Sumber: Independent UK

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker