Isu SemasaTempatan

PM Tubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Kerana Menteri “Kurang Kompeten”?

Beberapa hari yang lalu, Penasihat Media dan Komunikasi Pejabat Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin, menyatakan bahawa keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir untuk menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) mungkin kerana jentera-jenteranya tidak mampu untuk menangani isu-isu berkaitan dengan ekonomi, kewangan, serta kebajikan rakyat.

Beliau menerusi penulisan di blog peribadinya berkata, terdapat sebab “tersirat dan tersurat” disebalik langkah Dr Mahathir dalam menubuhkan MTEN.

“Sebab tersurat adalah Dr Mahathir memerlukan badan khas untuk meneliti dan membuat keputusan ke atas perkara-perkara berkaitan isu penting dan mendesak tentang ekonomi, kewangan dan kebajikan rakyat.

“Sebab tersirat pula adalah PM mengakui bahawa jentera-jentera sedia ada, terutamanya Kabinet (Jemaah Menteri), tidak mencukupi untuk menangani isu-isu yang disebutkan.

“Kita tidak perlu berpura-pura semata-mata untuk melindungi perasaan sesiapa atau mana-mana parti,” katanya.

 

RAMAI RAKYAT KECEWA DENGAN PRESTASI KERAJAAN

Dalam pada itu, Kadir turut menyatakan bahawa walaupun kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (PH) sudah mentadbir negara selama 8 bulan, ia masih gagal membuahkan sebarang hasil nyata yang boleh dirasai oleh rakyat.

Ujarnya, kerajaan tidak perlu lagi membazir masa memandangkan ramai rakyat Malaysia menjadi semakin kecewa dengan prestasi kerajaan, termasuk menteri-menteri Kabinet dan penjawat awam.

“Saya tahu ramai orang tahu bahawa PM sendiri tidak gembira atau berpuas hati dengan prestasi menteri-menteri Kabinet.

“Boleh dikatakan bahawa setiap kali beliau (Dr Mahathir) bertemu dengan rakyat dan wartawan, beliau kerap ditanya tentang ketidakcekapan menteri, menteri yang jarang turun padang, mereka yang selalu mengambil ‘swafoto’ dengan pegawai-pegawai mereka, menteri yang sukar untuk ditemui, atau mereka yang tidak jujur tentang perkara-perkara peribadi mereka,” tambahnya.

 

RAKYAT SUKAR UNTUK MENDEKATI MENTERI

Kadir berkata, beliau sendiri menyaksikan bagaimana menteri-menteri “disambut seperti raja” oleh pembantu-pembantu mereka sendiri dan mempunyai kawalan keselamatan yang ketat ketika turun padang, sekali gus menyukarkan rakyat untuk mendekati mereka.

“Jika anda hanya mahu disambut atau makan bersama pegawai-pegawai dari pejabat anda sahaja, maka tidak perlulah pergi ke kawasan-kawasan pedalaman atau skim Felda.

“Apabila anda ke luar bandar atau Felda, Felcra, atau kampung-kampung nelayan, duduk dan berborak bersama penduduk kampung, peneroka, nelayan, ahli perniagaan kecil dan petani. Kurangkan berswafoto dengan kakitangan sendiri dan memuatnaiknya (gambar) di Facebook,” tegas Kadir.

Beliau turut menasihati bahawa isteri dan anak kepada menteri juga perlu mengelak daripada memuat naik gambar-gambar atau bercakap tentang “percutian mewah” mereka.

 

BERI PERHATIAN 3 ISU UTAMA

Tegas wartawan veteran itu lagi, media sosial yang membantu PH memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun lepas juga boleh menjadi penyebab kejatuhan pakatan itu jika pentadbirannya gagal.

“Ia adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan kurang bijaksana untuk mengharapkan PM membersihkan masalah-masalah yang dilakukan oleh menteri, ketua menteri, menteri besar, dan timbalan menteri.

“Kembalilah ke kawasan-kawasan atau negeri anda dengan kerap dan jangan dituduh menjadi seorang yang pemalas,” katanya.

Daripada pandangan rakyat, Kadir menjelaskan bahawa satu-satunya cara kerajaan baru boleh lulus atau gagal ‘ujian’ ini adalah menerusi tiga isu iaitu:

1. Keselamatan

2. Kos Sara Hidup

3. Pekerjaan

Menurut beliau, ia tidak membawa sebarang makna untuk bercakap tentang isu-isu lain sekiranya perkara-perkara asas tidak diberi perhatian.

“Saya minta maaf untuk berkata ini, tetapi tiada gunanya untuk bercakap tentang isu-isu lain sekiranya perkara-perkara asas seperti harga makanan, pengangguran, pengangkutan, pendidikan, kesihatan, dan perumahan tidak ditangani dengan lebih baik berbanding kerajaan terdahulu,” ujar Kadir.

Sumber: The Star

Show More

Related Articles

Back to top button