AntarabangsaIsu Semasa

Aplikasi Propaganda Parti Komunis China Dibangunkan Oleh Alibaba?

Sebuah aplikasi propaganda kerajaan China yang menjadi popular walaupun baru sahaja dilancarkan telah dibangunkan oleh syarikat e-dagang terkemuka, Alibaba.

Aplikasi tersebut dikenali sebagai Xuexi Qiangguo, yang membawa maksud ‘Belajar untuk menjadikan China kuat’.

Ia merupakan platform propaganda kerajaan yang mempromosikan pandangan Presiden Xi Jinping, dalam usaha membentuk pemikiran rakyat di bawah pemerintahannya.

Memetik laporan Reuters, populariti aplikasi tersebut telah mengatasi Tik Tok serta WeChat, dan telah menjadi aplikasi paling popular di negara itu dalam Apple app store China pada minggu lepas.

Difahamkan, ia dibangunkan oleh pasukan projek khas di Alibaba yang dikenali sebagai “Y Projects Business Unit,” iaitu sebuah pasukan yang mengambil projek-projek di luar syarikat tersebut.

Tetapi setakat ini, masih tiada sebarang komen daripada pihak Alibaba untuk menjelaskan perkara berkenaan.

Dalam pada itu, pengerusi Alibaba, Jack Ma juga merupakan anggota Parti Komunis, dan pembangunan aplikasi ini adalah senario terkini yang menyaksikan kerjasama di antara syarikat teknologi dan kerajaan China.

Aplikasi tersebut dilaporkan mengandungi pelbagai segmen termasuk video pendek, berita kerajaan dan kuiz.

Pengguna aplikasi mesej buatan Alibaba bernama DingTalk, juga boleh log masuk Xuexi Qiangguo menggunakan maklumat sedia ada mereka dalam aplikasi itu memandangkan Xuexi Qiangguo dibina dengan menggunakan perisian DingTalk.

Kakitangan dalam unit khas Alibaba itu turut bertanggungjawab untuk terus membangungkan dan mengekalkan aplikasi itu dengan berita, video, serta pengstriman secara langsung.

Berdasarkan anggaran Qimai, syarikat rundingan statistik yang berpangkalan di Beijing, Xuexi Qiangguo telah dimuat turun sebanyak 43.7 juta kali di alat peranti Apple dan Android sejak ia mula dilancarkan pada bulan Januari tahun ini.

Walau bagaimanapun, masih tidak jelas sama ada Alibaba meraih keuntungan daripada aplikasi ini atau tidak.

Sementara itu, naib-pengerusi eksekutif Alibaba, Joe Tsai mengecam dan menyifatkan layanan buruk Amerika Syarikat (AS) terhadap syarikat Huawei Technologies sebagai “amat tidak adil.”

Tsai mendakwa bahawa tindakan itu merupakan cubaan kerajaan AS untuk menghalang kebangkitan China menerusi perang dagang.

Huawei, syarikat pembuat peralatan rangkaian yang terbesar di dunia, telah diharamkan  di AS dan beberapa negara lain kerana produk-produknya disyaki berpotensi digunakan untuk melakukan perisikan/pengintipan.

Namun, kedua-dua Huawei dan kerajaan China menafikan tuduhan itu sekeras-kerasnya.

Sumber: Reuters

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker