Sebuah program ‘Life Saving Skills’ dan modul Kesedaran Keselamatan dan Menyelamat di Air untuk sekolah-sekolah di Malaysia telah dilancarkan pada bulan November 2018 yang lalu ditujukan untuk menurunkan kadar kematian disebabkan lemas.
Program dan modul ini dikatakan lebih praktikal dari belajar berenang di sekolah dan hotel kerana sekolah-sekolah di Malaysia kebanyakannya tidak mempunyai kemudahan kolam renang.
Namun begitu, jika terdapat sekolah yang mempunyai akses ke atas kolam renang, semua pelajar seharusnya belajar untuk berenang.
Bukan Pelajar Sahaja Yang Perlu Belajar Tetapi Guru Juga
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia, Harry Tan berkata mana-mana program atau modul yang memastikan pelajar berada dalam keadaan selamat dari bahaya air adalah dialu-alukan.
“Negara kita tidak terlepas dari banjir dan air sungai yang melimpah. Di tambah lagi dengan kawasan lombong yang disalahgunakan. Oleh itu adalah penting pembelajaran tentang keselamatan air ini diadakan sama seperti adanya latihan kebakaran,” kata Tan.
Baginya, guru-guru tidak perlu menjadi ‘life guard’ (penjaga kolam renang) tetapi mereka perlu tahu tentang keselamatan air.
“Sebagai contoh, air merupakan konduktur elektrik. Kita tidak dapat melihatnya tetapi ia sangat berbahaya untuk berenang jika adanya petir.
Kita seharusnya sekurang-kurangnya tahu cara untuk menyelamatkan diri dan orang lain di bawah jagaan kita. Oleh itu guru-guru memerlukan bantuan profesional untuk memberi bimbingan bagaimana untuk melakukannya dengan betul,” jelas Tan.
Cadangan Menteri Pendidikan
Menurut Menteri Pendidikan semasa perdebatan di Parlimen, perkara ini adalah penting kerana lebih dari 100 kes mati lemas telah dilaporkan saban tahun terutamanya apabila muncul musim cuti sekolah dan musim tengkujuh.
Matlamat program ini ialah untuk dijadikan subjek di sekolah dan dijangkakan untuk 20 tahun yang akan datang, kanak-kanak ini bukan sahaja pandai berenang tetapi boleh menyelamatkan nyawa.
Pelajaran Wajib Untuk Tingkatan 4
Menurut Sunday Star, program ini bakal dimasukkan ke dalam buku teks Bahasa Melayu Tingakatan 4 pada tahun hadapan di mana ia akan dilengkapi dengan kod QR untuk diimbas bagi menonton video, mendengar audio dan melihat gambar supaya pelajar lebih memahami pelajaran tersebut.
Kolam Renang Kemudahan Wajib Pada Masa Akan Datang
Ahli Majlis Keselamatan Aktiviti Air Negara, Tan Sri Lee Lam Thye mencadangkan kementerian untuk memasukkan pembinaan kolam renang sebagai struktur wajib dalam pelan pembinaan sekolah baharu jika kewangan mengizinkan.
“Buat masa ini, kebanyakan sekolah tidak memiliki kemudahan ini kerana kekangan kewangan. Oleh itu mungkin pihak sekolah boleh membawa pelajar mereka untuk belajar berenang di kolam renang awam yang diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan,” cadang Tan Sri Lee.