Isu SemasaTempatan

Wanita Dalam Politik Malaysia Semakin Memberangsangkan

Penglibatan wanita dalam arena politik telah lama dilihat sebagai ukuran penting kesamarataan jantina di Malaysia.

Walaupun tidak mempunyai perubahan  yang signifikan, trend dan momentum kaum hawa memegang jawatan-jawatan politik dan kerajaan menyaksikan peningkatan.

Namun Nicole Tan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang menyatakan bahawa pelantikan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri merupakan satu penghormatan besar kepada semua wanita di dalam negara.

“Tambahan pula, Kabinet Malaysia kini mempunyai sembilan wanita – lima menteri dan empat timbalan menteri – dan kita memerlukan masa dua hingga tiga tahun untuk melihat sama ada (trend) ini akan berterusan dan jika ia akan memberi impak,” katanya ketika program Ruang Bicara yang disiarkan oleh Bernama baru-baru ini.

Seorang lagi panel yang turut hadir dalam program yang membincangkan topik “Women’s Struggles in the New Malaysia’s Politics’ itu adalah Senator Raj Munni Sabu @ Aiman Athirah, yang juga merupakan ahli jawatankuasa pusat Parti Amanah Negara (Amanah).

Beliau berkata, wakil wanita di dalam Dewan Rakyat sebelum ini hanya 8%, tetapi ia kini sudah meningkat kepada 14.4%.

Di Dewan Negara Pula menyaksikan peningkatan wakil wanita daripada 17% kepada 19.23%.

Sementara itu, Tan yang juga Setiausaha Publisiti Wanita Kebangsaan DAP menyatakan bahawa beliau berpuas hati dengan jumlah wanita yang kini memegang jawatan dalam Jemaah Menteri kerana pelantikan mereka dilakukan berdasarkan merit.

Sebagai contoh:

1. YB Yeo Bee Yin – memegang jawatan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi dan Perubahan Iklim mempunyai Ijazah Sarjana dari Oxford University dalam bidang tenaga

2. YB Hannah Yeoh – memegang jawatan Timbalan Menteri Wanita, Keluarga, dan Pembangunan Masyarakat adalah seorang peguam hak asasi wanita

Dalam pada itu, Raj Munni menegaskan bahawa usaha memperkasakan perempuan dan wanita perlu ditingkatkan lagi supaya mereka boleh bersuara dan mempertahankan hak mereka.

“Dengan kerajaan baru yang baru sahaja memerintah selama 9 bulan, ia perlu menetapkan kerangka kerja untuk mencapai sasaran 30% wanita (dalam Kabinet pada masa akan datang).

“Usaha pemerkasaan wanita bukan sahaja tanggungjawab kerajaan, tetapi juga parti-parti politik yang perlu menekankan kepentingan untuk menarik ahli-ahli wanita,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, ia adalah lebih baik bagi wanita untuk menjadi pembuat keputusan dalam sesetengah dasar-dasar yang membabitkan wanita.

“Dalam perkara-perkara berkaitan kesihatan dan asas pendidikan wanita, lelaki tidak mungkin akan membuat keputusan yang lebih baik berbanding wanita sendiri,” ujar Raj Munni.

Sumber: The Sun Daily – Bernama

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button