Sains

Ibubapa Tiada Penglihatan, Anak Jurutera Aeronautik Wanita Hebat Dunia

Lahir di Ipoh, Perak, gadis berusia 28 tahun ini meminati komputer dan elektronik sejak kecil lagi.
 
Masa kecil Chan May Chong sering dihabiskan dengan melepas dan memasang semula peralatan elektronik untuk mengetahui bagaimana ianya berfungsi dan kini beliau mempunyai ijazah sarjana sains dalam kejuruteraan kapal angkasan dari Embry-Riddle Aeronautical University, Daytona, Florida serta dalam perjalanan untuk mendapatkan lagi sekeping ijazah dalam pengurusan kejuruteraan dari Pennsylvania State University-Great Valley Graduate Center.
 
Mengakui terpengaruh oleh mendiang ayahnya menyebabkan dirinya sangat berminat dengan astronomi, sehingga beliau tidak pernah terlepas untuk melihat langit di waktu malam sambil berdoa.
Sumber Imej : Embry-Riddle Aeronautical University

IbuBapa Yang Tidak Dapat Melihat Menjadi Inspirasi Untuk Berjaya

Mendiang ayah Chan merupakan seorang juruteknik audio yang mula mengalami rabun penglihatan kerana demam teruk dan pada akhirnya menjadi buta pada umur 30-an. Manakala ibunya merupakan seorang pengajar orang cacat penglihatan dalam bidang urut telah hilang penglihatan akibat jangkitan pada mata.
 
Walaupun ibubapanya cacat penglihatan, keluarga Chan sentiasa aktif dalam sukan dan aktiviti.
Ibubapa Chan merupakan para-atlet dalam sukan bola padang  dan Chan juga aktif mengikuti kedua ibubapanya ke sesi latihan mereka.
 
Chan juga telah mewakili Wilayah Persekutuan dalam beberapa bidang sukan seperti pingpong, lontar cakera, lontar peluru dan rejam lembing. Beliau juga mewakili negeri Selangor dalam acara judo.
 
Namun disebalik aktif dalam kegiatan sukan, Chan sangat minat membaca dan ini juga telah mendedahkannya kepada beberapa saintis kegemarannya seperti Marie Curie, Albert Einstein dan Stephem Hawking.
 

Bekerja Sebagai Penterjemah Sarikata Anime Pada Usia 15 Tahun

Semasa bersekolah di SMK Seri Bintang Utara, Chan turut mengambil kerja sambilan pada usia 15 tahun sebagai penterjemah sarikata untuk anime.
 
Di sekolah pula Chan merupakan sebahagian dari pasukan robotik yang telah mewakili sekolahnya dalam pertandingan seperti FIRST Lego League (FLL) yang mana beliau menjadi programmer dalam pasukan tersebut.
 
“Programming telah menggalakkan saya untuk berfikir lebih proaktif tentang keadaan sekeliling. Ini juga ditambah dengan kecenderungan terdapat mekanisme penerbangan telah menyebabkan saya mengambil pengajian yang melibatkan UAV (Unmanned aerial vehicles) serta dinamik penerbangan dan pengawalan di universiti,” kata Chan kepada TheStar.
 

Pernah Bekerja Untuk NASA

Chan kini merupakan jurutera sistem di Rockwell Collins Inc di Iowa, Amerika Syarikat – sebuah syarikat multinasional yang menyediakan sistem dan perkhidmatan avionik dan teknologi kepada agensi kerajaan dan syarikat pengeluaran kapal terbang.
 
Chan juga pernah berkesempatan untuk bekerja di NASA Free-Flying Unmanned Robotics Spacecraft yang memberi informasi kepada kerajaan dan pihak yang ingin melakukan tinjauan angkasa lepas tentang teknologi yang diperlukan untuk tinggal atau bekerja di permukaan bulan atau planet lain di sistem solar kita.
 
Chan mengakui perjalanan kehidupannya mungkin boleh dikatakan sesuatu yang sukar dipercayai apatah lagi memiliki kedua ibubapa yang cacat penglihatan, malah beliau tidak pernah terfikir untuk meneruskan pengajian di Amerika apatah lagi bekerja di bahagian hadapan dalam bidang penerbangan.
 
Tetapi Chan berkata dia sangat bersyukur dengan bantuan dan bimbingan yang diberikan oleh orang sekelilingnya yang percaya dirinya mampu melakukan apa sahaja yang diinginkan apabila mempunyai tingkah laku dan ketetapan minda yang betul.
 

Nasihat Chan Kepada Anak Muda

“Percayalah pada diri anda sendiri dan jangan biar sesiapapun membuat keputusan untuk anda. Jangan putus harapan dengan impian anda ke atas keterbatasan yang anda miliki,” nasihat Chan kepada wanita muda yang mungkin dipatahkan semangat untuk meneruskan kerjaya dalam bidang STEM.
 

Janji Chan Kepada Masyarakat

Chan, seorang anak tunggal yang pernah belajar di Inti International College dan mendapatkan biasiswa sepenuhnya untuk melanjutkan pelajaran ke Embry-Riddle Aeronautical University berkata dia sangat menggemari tugasan hariannya dan berharap ia boleh digunakan untuk membantu masyarakat pada masa akan datang.
 
“Saya berjanji kepada diri sendiri untuk mencari jalan menjadikan pengangkutan udara dan perjalanan ke angkasa lepas yang lebih selamat, mesra alam dan menjimatkan. Saya percaya ini boleh menghubungkan bumi sebagai sebuah keluarga dan membantu manusia dalam menjelajah serta mempelajari sesuatu perkara lebih tentang diri kita sendiri,” ujar Chan.
Tags
Show More

Related Articles

Back to top button