AntarabangsaIsu SemasaPolitik

‘Heret’ Anggota Kerabat Dalam Politik, Ini Nasib Yang Bakal Menimpa Parti Bekas PM Thai

Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand telah memohon mahkamah perlembagaan untuk membubarkan parti Thai Raksa Chart yang berkaitan dengan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra yang kini hidup dalam buangan, kerana menamakan Puteri Ubolratana yang merupakan kakak sulung kepada Raja Thai, Maha Vajiralongkorn sebagai calon perdana menteri pada pilihan raya bulan Mac ini.

Raja Vajiralongkorn turut menyifatkan tindakan keluarga diraja melibatkan diri dalam politik sebagai “tidak sesuai dan bercanggah dengan perlembagaan.”

Di Thailand, martabat keluarga diraja melebihi politik dan kerabat juga dianggap sebagai ‘separa-dewa’.

Dalam pada itu, situasi ini turut memberi tamparan hebat kepada keluarga Shinawatra yang mahu cuba kembali semula dalam arena politik.

Kini, Thai Raksa Chart berdepan pembubaran di atas kesalahan melanggar undang-undang parti politik kerana mengheret anggota kerabat diraja ke dalam politik.

“Tindakan itu bertentangan dengan raja berperlembagaan,” kata Suruhan Jaya Pilihan Raya dalam satu kenyataan.

Walau bagaimanapun, masih tidak jelas sama ada mahkamah boleh membuat keputusan mengenai pembubaran parti itu sebelum pilihan raya pada 24 Mac ini.

Sekiranya dibubarkan, barisan kepimpinan tertinggi parti, termasuk anggota keluarga Shinawatra, boleh dilarang daripada menyertai politik buat tempoh yang panjang, manakala calon-calon pilihan raya pula tidak dibenarkan untuk bertanding.

Namun, Thai Raksa Chart menyatakan bahawa ia akan mencabar langkah untuk membubarkannya.

“Parti kami akan terus berkempen…kami adalah harapan rakyat,” kata pemimpin parti, Preechaphol Pongpanit.

Difahamkan, parti-parti politik yang berkaitan dengan Thaksin telah memenangi setiap pilihan raya umum sejak tahun 2001 lagi, namun kerajaan pimpinan parti tersebut juga digulingkan oleh tentera menerusi rampasan kuasa sebanyak dua kali.

Selain itu, sekiranya Thai Raksa Chart dibubarkan, pihak tentera akan mempunyai kelebihan dalam pemilihan akan datang sekali gus terus mengekalkan kedudukan Perdana Menteri, Prayut Chan-ocha dan menghapuskan impian rakyat untuk mengembalikan pemerintahan demokrasi di Thailand.

 

 

 

 

Sumber: AFP

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button