Isu SemasaTempatan

Pelan Anti-Rasuah Nasional Akan Hapuskan “Kleptokrasi”

Kerajaan telah melancarkan Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 pada hujung bulan lalu dalam usaha menghapuskan ‘kleptokrasi’ dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berintegriti tinggi.

Pelan ini dibangunkan oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan, di mana ia menggariskan 22 strategi dan 115 inisiatif untuk menghapuskan rasuah dalam pelbagai bidang seperti politik, perolehan awam, penguatkuasaan undang-undang, pentadbiran sektor awam, tadbir urus korporat, serta perundangan dan kehakiman.

Berikut adalah antara strategi yang akan dilaksanakan dalam penguatkuasaan NACP:

– Memperkenalkan undang-undang baru pendanaan politik dan menjadikan ‘melobi’ sebagai satu perbuatan salah laku.

– Memperkenalkan sistem pengisytiharan aset yang baik bagi anggota pentadbiran kerajaan dan Ahli Parlimen (MP)

– Memperbaiki dasar atau mekanisme berhubung penerimaan hadiah, hiburan, dan pembayaran oleh anggota pentadbiran

– Melarang anggota pentadbiran kerajaan atau mana-mana individu berpengaruh daripada mengeluarkan surat sokongan untuk sebarang projek atau permohonan

– Memperkenalkan dasar pelantikan ahli politik sebagai Pengerusi atau Ahli Lembaga Pengarah badan-badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan Syarikat Berhad Menurut Jaminan (SBMJ) berdasarkan kelayakan akademik dan profesional.

– Mengukuhkan mekanisme dalam menguatkuasakan giliran bekerja mandatori bagi penjawat-penjawat awam yang memegang jawatan sensitif

– Mempromosikan pengasingan kuasa yang jelas – contoh: mengasingkan kuasa Peguam Negara dengan kuasa Pendakwa Raya

Difahamkan, sesetengah inisiatif telah pun mula dilaksanakan, dan ini termasuk mewajibkan ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) dan anggota-anggota kerajaan mengisytihar aset, mengubah dasar penerimaan hadiah, pelantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan meletakkan Jabatan Audit Negara di bawah Parlimen.

Sumber: The Star

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker