Isu SemasaTempatan

Jemaah Menteri Perlu “Bercakap Dengan Satu Suara”

Anggota Kabinet atau Jemaah Menteri mempunyai tanggungjawab yang besar di dalam parlimen (Dewan Rakyat), dan ini terbahagi kepada dua iaitu:

1. Tanggungjawab individu (Individual responsibility)

2. Tanggungjawab bersama (Collective responsibility)

TANGGUNGJAWAB INDIVIDU

Perkara ini merujuk kepada peraturan-peraturan yang baik dan penguatkuasaan yang betul, yang meningkatkan lagi kualiti tadbir urus dalam sebuah demokrasi berparlimen.

Ketika sesi perdebatan, usul, dan waktu soal jawab di parlimen Dewan Rakyat, seseorang menteri perlu menjawab soalan-soalan yang ditujukan, membekalkan maklumat, dan menjustifikasikan dasar-dasar kementerian pimpinannya.

Seorang menteri juga bertanggungjawab kepada parlimen terhadap tindakan/perbuatan penjawat-penjawat awam di bawah kementeriaannya.

Di pelbagai negara demokrasi yang sudah maju, menteri-menteri selalunya akan meletak jawatan untuk bertanggungjawab ke atas kegagalan jabatannya dalam melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan.

Namun begitu, perkara ini dilihat masih belum atau jarang sekali diamalkan di Malaysia, memandangkan anggota-anggota Kabinet selalunya akan terus mempertahankan kedudukan/jawatan mereka walaupun menerima desakan untuk berundur.

Selain itu, menteri juga perlu memperkenalkan dan mengendalikan semua perundangan berkaitan dengan portfolio kementeriannya dan memberi maklum balas terhadap sebarang komen atau persoalan yang ditujukan kepadanya dalam persidangan Dewan Rakyat.

Pada masa yang sama, seorang menteri harus meletak jawatan sekiranya undi tidak percaya dilaksanakan dan dipersetujui oleh anggota Dewan Rakyat yang lain terhadapnya jika berlaku sebarang salah laku yang dilakukan oleh dirinya sendiri atau kementeriannya.

TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Kerajaan perlu mengekalkan keyakinan Dewan Rakyat sebagai syarat untuk memastikan kelangsungannya.

Di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan, sekiranya tewas dalam undi tidak percaya, Perdana Menteri mempunyai dua pilihan.

Pertama, beliau boleh melakukan peletakan jawatan Kabinetnya. Kedua, beliau boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menggunakan kuasa budi bicara diraja untuk membubarkan Dewan Rakyat dan melaksanakan pilihan raya.

Dalam pada itu, semua menteri juga perlu mencapai kesepakatan dan bercakap dengan satu suara.

Mereka perlu bersatu di hadapan umum, kepada Parlimen, dan Yang di-Pertuan Agong.

Sekiranya seseorang menteri ‘diserang’ di Parlimen, ia menjadi tanggungjawab anggota-anggota lain untuk mempertahankannya.

Jika seseorang menteri tidak bersetuju dengan keputusan Kabinet pula, beliau mempunyai tiga pilihan iaitu:

1. Berdiam diri

2. Letak Jawatan

3. Membantah keputusan itu dalam mesyuarat Kabinet, bukan secara terbuka

Selain itu, menteri-menteri kabinet, walaupun mewakili parti-parti politik yang berbeza, perlu bekerjasama sebagai satu pasukan dan saling menghormati antara satu sama lain.

Adalah tidak baik untuk seseorang menteri mengkritik masalah-masalah yang berkaitan dengan tanggungjawab seorang lagi menteri secara terbuka/umum.

Perbincangan dan perbezaan pendapat perlu di dalam mesyuarat Kabinet, dan sebarang pertelingkahan secara umum harus dielakkan.

Ia adalah satu pelanggaran konvensyen yang serius sekiranya seseorang menteri mengkritik seorang lagi menteri secara terbuka atau mendesaknya meletak jawatan.

Serangan secara umum/terbuka ke atas seseorang rakan anggota Kabinet adalah perbuatan mencabar kuasa Perdana Menteri dan ia turut melambangkan perpecahan dalam kerajaan.

 

Sumber: The Star – The Cabinet must present a united front

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button