Isu SemasaTempatan

Fikir Dua Kali Sebelum Terbitkan Kandungan Laporan Polis Kepada Umum

Mahkamah Persekutuan pada hujung bulan lepas telah memutuskan bahawa seseorang individu yang membuat laporan polis boleh dipersalahkan atas kesalahan memfitnah sekiranya dia mengulangi isi kandungan laporan itu kepada umum.

Hakim Mahkamah, Tan Sri Azahar Mohamed berkata, penerbitan atau penyebaran susulan isi kandungan sesebuah laporan polis oleh pelapor kepada umum tidak dilindungi di bawah pembelaan perlindungan bersyarat, di mana kandungan laporan itu dibuat atau mempunyai kaitan dengan prosiding kehakiman.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, tiada sebarang pertimbangan dasar awam yang mengiktiraf bahawa apabila sesuatu laporan itu berada di bawah pembelaan perlindungan bersyarat, ia akan kekal sedemikian selepas penerbitan susulan dibuat.

“Hak pembuat laporan polis untuk bersuara dan menulis secara bebas kepada umum tidak boleh mengatasi kepentingan seseorang individu lain dalam melindungi reputasinya,” kata Azahar yang menyampaikan penghakiman panel lima hakim dalam kes saman fitnah yang difailkan oleh pelakon, Zahida Mohamed Rafik.

Jelas beliau, pembelaan perlindungan bersyarat, pada sesuatu tahap, perlu memberi laluan untuk melindungi kerosakan reputasi.

Azahar berkata dalam kes berkenaan, Zahida tidak memberi sebarang penjelasan atau alasan mengapa ianya menjadi satu keperluan atau suatu kemanasabahan buat dirinya untuk mengulangi isi kandungan laporan polis tersebut di sebuah sidang media.

Namun menurut beliau, walaupun mahkamah telah menjawab persoalan undang-undang perihal perlindungan bersyarat yang menyebelahi bekas pemandunya, Noor Azman Azemi, ia tidak akan menjejaskan keputusan rayuannya.

Ketika menolak rayuan Noor Azman tanpa perintah ke atas kos, Azahar berkata tidak berlaku sebarang ketidakadilan.

Difahamkan, Noor Azman telah membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengenepikan bayaran ganti rugi sebanyak RM150,000 oleh Mahkamah Tinggi dalam saman fitnahnya terhadap Zahida.

Noor Azman, seorang pemandu bagi syarikat swasta juga perlu memulangkan semula RM200,000 kepada Zahida memandangkan Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan ke atas tuntutang balasnya terhadapnya.

Pada tahun 2013, Noor Azman menyaman Zahida di atas kenyataannya yang disiarkan dalam satu artikel yang diterbitkan oleh sebuah akhbar harian pada 3 Mac 2012, berkenaan kehilangan wang bernilai RM200,000.

Selepas membuat laporan polis ke atas Noor Azman, Zahida didatangi pemberita yang bertanya mengapa beliau pergi ke balai polis.

Zahida memberitahu pemberita bahawa beliau membuat laporan polis ke atas Noor Azman dan, kemudian mengulangi isi kandungan laporan itu kepada pemberita.

Pelakon filem Anak Mami The Movie itu juga telah memfailkan tuntutan balas terhadap Noor Azman bagi menuntut pemulangan RM200,000 tersebut.

Pada tahun 2015, Zahida diarahkan untuk membayar ganti rugi bernilai RM150,000 kepada Noor Azman selepas Mahkamah Tinggi membenarkan tuntutan saman fitnah terhadapnya.

Walau bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menolak tuntutan balas Zahida.

Namun, Zahida kemudian memenangi rayuan pada tahun 2017, di mana Mahkamah Rayuan mengenepikan bayaran ganti rugi bernilai RM150,000 dan juga membenarkannya untuk membuat tuntutan balas bagi memaksa Noor Azman memulangkan RM200,000 kepadanya, sekali gus menyebabkan Noor Azman untuk membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

Sumber: The Star

Show More

Related Articles

Back to top button