Bisnes & Ekonomi

Bantu Belia Trauma Untuk Berdiri Sendiri Matlamat Utama ‘Messy Bessy’

 

Dimiliki dan diusahakan oleh seorang wanita muda lagi cantik, Kristina “Krie” Reyes-Lopez beliau mengasaskan Messy Bessy, sebuah perniagaan yang menghasilkan produk pembersihan berasaskan bahan alami yang didirikannya pada tahun 2007 dengan matlamat untuk membantu anak muda yang berada dalam situasi yang berisiko.

Berbeza dengan perniagaan sosial yang kami kunjungi semasa lawatan bersama MyHarapan ke Manila, Filipina perniagaan sosial yang satunya ini memiliki yayasan mereka sendiri.

Mendapat Inspirasi Daripada San Francisco

Krie mendapat inspirasi mendirikan syarikatnya sendiri apabila bekerja di bawah sebuah syarikat yang membawa Starbucks ke Filipina buat pertama kalinya pada tahun 1997.

Selama bertahun berkhidmat di syarikat tersebut dan berpindah ke beberapa bahagian yang berlainan, akhirnya Krie telah menjadi ketua di bahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Semasa berada di bahagian ini, Krie sedar bahawa untuk membasmi kemiskinan, seseorang itu harus mendapatkan kehidupan yang mampan dan tidak bergantung kepada wang hasil sumbangan.

Setelah lapan tahun bekerja di Rustan Coffee Corporation, akhirnya Krie memutuskan untuk berhenti kerja dan membuat kajian tentang perniagaan sosial yang fokus untuk memperbaiki kehidupan seseorang sambal beroperasi dengan membawa keuntungan.

Krie ambil kesempatan untuk mengunjungi sebuah yayasan di San Francisco bernama Delancey Street Foundation yang mana organisasi ini memulihkan bekas banduan, penyalahguna dadah, dan orang-orang yang tiada tempat tinggal menjadi individu yang berkemahiran. Mereka ini bekerja dalam perniagaan Delancey seperti syarikat yang bergerak dan restoran.

Krie mengambil model yayasan Amerika ini dan dibawanya ke Filipina. Krie telah bekerjasama dengan sebuah yayasan bernama Vielanie Foundation yang telah membantu mangsa serangan seksual dan mangsa pemerdagangan manusia.

Pernah Bungkus Perniagaan Sosial

Pada awalnya beliau menubuhkan agensi pekerjaan sementara untuk pelanggan yang memerlukan bantuan dalam pekerjaan kecil seperti membungkus hadiah semasa Krismas.

Namun perniagaan tersebut tidak berjaya kerana pekerjanya sewaktu itu tidak memiliki etika kerja yang betul dan tidak hadir bekerja.

Kewujudan Messy Bessy Kerana Tidak Puas Hati

Krie sebenarnya mendapatkan inspirasi untuk membuat produk pembersihan ini kerana tidak berpuas hati dengan kebersihan di pangsapurinya.

“Saya rasa sudah tiba masanya untuk pembersihan hijau. Ramai yang sedang bercakap tentangnya termasuk Oprah TV,” mengimbas Krie yang memiliki sarjana kejuruteraan mekanik dari Ateneo.

Krie mempelajari cara membuat produk pembersihannya sendiri melalui Youtube dan membuat eksperimennya tersendiri.

“Saya rasa ia sebuah idea yang baik untuk membuatnya bagi orang yang tiada masa untuk menghasilkannya sendiri,” kata Krie.

Bermodalkan Hanya RM4K

Krie memulakan perniagaannya dengan P50,000 (RM3,900) dengan tiga matlamat iaitu manusia, bumi dan keuntungan.

Tidak seperti produk pembersihan yang lain, Messy Bessy mereka produk berdasarkan retro bagi menarik perhatian orang ramai yang mungkin tidak pada awalnya berminat dengan produk pembersihan.

Mengakui produknya berharga lebih mahal sedikit daripada harga produk di pasaran (RM0.50), tetapi Messy Bessy telah menumpukan penghasilan produk yang boleh dibiodegradasi, tidak toksik, 100% menggunakan bahan alami dan tidak menghasilkan lebihan kimia.

Berpatutan bukan?

Tidak Mahu Simpati Orang Untuk Membeli Produk Mereka

Walaupun setiap pembelian produk Messy Bessy akan membantu orang yang mengalami masalah sosial tetapi mereka tidak mahu menjadikannya ia alasan untuk orang membeli produk mereka.

Mereka mahu orang membeli kerana produk itu berhasil dan bukan perasaan simpati semata-mata.

Semasa kunjungan kami di tempat operasi Messt Bessy, kami telah diberi lawatan untuk melihat tempat penghasilan produk mereka serta melihat bagaimana mereka bekerja.

Kami diberi kesempatan untuk mendengar salah satu cerita kejayaan para pekerja mereka yang telah berjaya memasuki universiti dengan bantuan yayasan yang dikelola Krie.

Yayasan HOUSE Membantu Remaja Yang Pernah Mengalami Trauma

Yayasan yang didirikan Krie mempunyai akronim HOUSE yang membawa maksud ‘Helping Ourselves Through Sustainable Enterprises’ – Membantu Diri Melalui Perniagaan Mampan.

Messy Bessy telah bekerjasama dengan Kolej Perniagaan Manila untuk sebuah program bekerja sambil belajar.

Program ini merupakan program biasiswa di bawah kolej tersebut tetapi tidak sepenuhnya. Oleh itu Messy Bessy akan membayar sedikit daripada kos pengajian yang mana pelajar akan membayarnya semula melalui pekerjaan mereka di Messy Bessy.

Harus Tegas Dengan Para Pekerja

Krie mengakui masih menerima pekerja yang bermasalah kerana pekerja yang diambilnya berada dalam lingkungan berisiko dan bermasalah, namun Krie optimis dan mengakui dia harus bersikap tegas untuk menangani setiap permasalahan yang datang.

Messy Bessy telah mengambil lebih 60 pekerja daripada golongan bersiko ini dan walaupun ramai yang juga meninggalkannya tetapi ramai yang juga berhasil sehingga berjaya kembali ke kolej dan menamatkan pengajian.

Antara ganjaran lain yang dilihatnya ialah pekerjanya mampu menulis laporan perniagaan atau melaksanakan persembahan PowerPoint walaupun tanpa diploma sekolah tinggi, berurusan dengan pembekal, mengadakan bengkel dan berkebolehan bertutur di dalam bahasa Inggeris.

Kini syarikat Krie berkembang luas dengan 50 outlet Messy Bessy di Luzon dan Cebu dan seperti syarikat yang lain, memiliki misi untuk menjadi syarikatnya lebih besar.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker