Pakatan Harapan akan meletakkan menantu bekas ADUN Semenyih, Bakhtiar Mohd Nor untuk mempertahankan kerusi DUN itu pada pilihan raya kecil akan datang.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pakatan itu telah memilih bendahari Bersatu Hulu Langat, Muhammad Aiman Zainali, 30, sebagai calonnya.
Aiman yang merupakan jurutera elektrikal yang masih dalam proses menyiapkan ijazah kedoktoran dalam bidang itu, adalah antara enam nama yang dikemukakan kepada PH untuk dipertimbangkan, kata Muhyiddin, yang membuat pengumuman itu.
“Kami menyemak setiap calon dengan Jabatan Insolvensi untuk kebankrapan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis untuk apa-apa kesalahan jenayah yang serius,” katanya sambil menambah beliau telah bertemu dengan pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad untuk kelulusan akhir.
Dalam ucapannya sebelum mengumumkan calon itu, Muyhddin berkata PH yakin akan mempertahankan kerusi Semenyih dan mendesak rakyat dan pengundi untuk memberi masa kepada kerajaan dalam menyelesaikan isu-isu berbangkit.
Sementara itu, Barisan Nasional (BN) meletakkan calon tempatan, Zakaria Hanafi, 58 tahun sebagai calonnya.
Dalam membuat pengumuman di Plaza Datuk Mohd Said, pengerusi sementara BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan keyakinan terhadap kemenangan untuk gabungan itu.
Beliau berkata Zakaria, yang merupakan bekas pengerusi cawangan Umno Kampung Sesapan Kelubi dan seorang penduduk asal Semenyih, akan menjadi faktor kemenangan untuk BN.
“Calon kami adalah orang yang bukan sahaja boleh diterima oleh penduduk tempatan tetapi juga orang yang boleh diterima oleh jentera. Keputusan ini dibuat selepas banyak pertimbangan ketika kami menerima enam pencalonan lain.”
Mohamad dalam pada itu mendesak rakyat menggunakan PRK itu sebagai referendum untuk menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kerajaan kerana tidak memenuhi janji-janji manifesto sebelum pilihan raya umum ke-14.
Zakaria, bekas pentadbir di bahagian pentadbiran Universiti Kebangsaan Malaysia, memegang ijazah dalam Sains Pembangunan dari universiti yang sama. Zakaria pernah aktif dalam politik sebelum membuat keputusan untuk berundur ketika bekerja dengan UKM.
Pengundian untuk kerusi DUN Semenyih di Selangor akan diadakan pada 2 Mac, dengan tarikh penamaan calon adalah pada 16 Februari.
Kerusi itu diisytiharkan kosong berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri Bakhtiar Mohd Nor, 57, akibat serangan jantung pada 11 Januari di Hospital Kajang.
Bakhtiar memperoleh 23,428 undi dan mengalahkan tiga calon lain – Datuk Johan Abdul Aziz (BN), Mad Shahmidur Mat Kosim (Pas) dan S. Arutchelvan (PSM) – dengan majoriti 8,964 undi.
DUN Semenyih mempunyai 54,503 pengundi berdaftar, terdiri daripada 53,520 pengundi biasa, 951 pengundi awal dan 32 pengundi tidak hadir.