Isu SemasaTempatan

Perak Akan Bangunkan Kediaman Mampu Milik Berlandaskan Konsep Islamik

Perbadanan Pembangunan Ekonomi Islam Perak (PKEINPK) akan membangunkan tanah kosong yang dimiliki oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK) dengan projek-projek perumahan mampu milik yang berlandaskan konsep Islamik.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PKEINPK, Abd Rahman Abdullah Thani berkata, antara kawasan yang dikenalpasti untuk projek yang akan dibangunkan dari tahun 2020 sehingga 2021 itu adalah Kampar, Alor Pangsu dan Chemor.

Projek-projek ini akan dilaksanakan berlandaskan konsep Islamik bagi mematuhi keperluan Syariah dan untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan pembeli mengenai tanah wakaf.

“Bagi setiap tanah wakaf yang akan dibangunkan, kita akan menggunapakai konsep Islamik dalam reka bentuk dalaman rumah, seperti mengasingkan tandas dan bilik air demi memastikan kesucian dan kebersihan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar sempena majlis pecah tanah projek pembangunan rumah teres di Taiping pada Rabu, 13 Februari 2019.

Tambah Abd Rahman, tandas bagi rumah-rumah berkenaan juga tidak akan menghadap arah kiblat (arah Kaabah di Mekah) untuk memenuhi konsep Islamik.

Bercakap tentang soal harga pula, beliau menyatakan bahawa semua rumah yang akan dibangunkan dalam projek berkenaan tidak akan melebihi RM250,000 setiap unit dalam usaha meningkatkan dan mengekalkan ekonomi masyarakat Islam di negeri Perak.

Ketika majlis pecah tanah tersebut, Abd Rahmah menjelaskan projek yang membabitkan tanah berukuran 0.19 hektar itu akan mendirikan 10 unit rumah teres dua tingkat mampu milik berkonsepkan ciri Islamik, dan dijangka akan siap dibina menjelang tahun 2020.

Sumber: The Star – Bernama

Show More

Related Articles

Back to top button