AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Hasrat Jadi PM Tidak Kesampaian

Hasrat Puteri Ubolratana Rajakanya untuk bertanding sebagai calon perdana menteri dalam pilihan raya umum pada 24 Mac ini tidak kesampaian setelah mendapat bantahan daripada adiknya, Maha Vajiralongkorn yang merupakan Raja Thai.

Memetik laporan media antarabangsa, nama Ubolratana juga telah dibuang daripada senarai calon perdana menteri yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand pada Isnin.

Kini, terdapat 69 nama di dalam senarai itu, termasuk Perdana Menteri yang masih memerintah, Prayut Chan-o-cha.

“Semua anggota keluarga diraja perlu mematuhi prinsip untuk kekal berada di atas politik dan menjadi neutral (tidak berpihak kepada mana-mana pihak) dalam politik,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan.

Di bawah undang-undang baru pilihan raya yang mula dikuatkuasakan selepas tentera mengambil alih pemerintahan negara pada tahun 2014, parti-parti politik perlu mengemukakan nama calon masing-masing untuk menjadi perdana menteri.

Jumaat lalu, seluruh Thailand dikejutkan dengan berita bahawa Uboltarana dipilih untuk menjadi calon perdana menteri bagi parti Thai Raksa Chart, iaitu sebuah parti yang berkaitan dengan bekas pemimpin yang kini hidup dalam buangan, Thaksin Shinawatra.

Raja Maha Vajiralongkorn dalam satu kenyataan bertitah, walaupun kakanya itu telah membuang gelaran dirajanya pada tahun 1972 kerana berkahwin dengan orang kebanyakan, dan kadang kala merujuk dirinya sebagai “orang biasa”, beliau masih “mengekalkan statusnya sebagai anggota keluarga diraja Chakri.”

“Sebarang cubaan untuk melibatkan anggota diraja berpangkat tinggi dalam proses politik dengan apa cara sekali pun, adalah sama seperti melanggar budaya negara, serta adat dan tradisi diraja yang telah lama wujud,” titah baginda.

Mahavajiralongkorn turut menyifatkan tindakan kakaknya itu sebagai “tidak sesuai dan tidak mengikut perlembagaan.”

Sementara itu, aktivis politik, Srisuwan Janya, yang mengetuai Persatuan Perlindungan Perlembagaan telah memfailkan petisyen kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk membubarkan parti Thai Raksa Chart kerana tindakan mereka “melanggar undang-undang pilihan raya.”

Sekiranya didapati bersalah melanggar undang-undang berkenaan, parti itu berdepan pembubaran dan pemimpin-pemimpinnya pula akan diharamkan daripada terlibat dalam politik.

Jika senario itu berlaku, kedudukan Prayut dalam pilihan raya kali ini akan bertambah kukuh kerana ketiadaan pesaing yang kuat.

 

Sumber: Straits Times

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button