AntarabangsaIsu Semasa

Turki Kutuk Layanan Buruk China Terhadap Etnik Islam Uighur

Turki dalam satu kenyataan baru-baru ini telah mengutuk layanan buruk China ke atas etnik Islam Uighur sambil menyifatkannya sebagai “keaiban besar kepada kemanusiaan.”

“Dasar pengasingan sistematik pihak berkuasa China terhadap Uighur Turki adalah keaiban besar kepada kemanusiaan,” kata jurucakap Kementerian Luar Turki, Hami Aksoy.

Difahamkan, wilayah Xinjiang di barat laut China, yang menjadi tempat kediaman kebanyakan penduduk Uighur, telah berada di bawah pengawasan ketat pihak polis sejak beberapa tahun kebelakangan ini selepas tercetusnya insiden keganasan di antara etnik.

Menurut barisan panel pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hampir satu juta warga Uighur dan puak minoriti lain berbahasa Turki di negara itu dilaporkan telah ditahan dalam ‘kem pendidikan semula’,

Beijing yang menggelar kem tahanan itu sebagai ‘pusat pendidikan vokasional’ berkata, pusat tersebut bertujuan untuk membantu etnik minoriti supaya tidak terjebak dalam keganasan dan mengintegrasi mereka dalam masyarakat.

Walau bagaimanapun, pihak pengkritik mendakwa bahawa China berhasrat untuk mengasingkan populasi minoriti di Xinjiang dan menindas amalan agama serta budaya yang bercanggah dengan ideologi Komunis dan budaya Han.

“Ia bukan lagi rahsia bahawa lebih daripada sejuta Uighur Turki – yang terdedah dengan penangkapan – diseksa dan dipaksa untuk mengubah pandangan politik mereka di pusat-pusat tahanan dan penjara.

“Uighur yang tidak ditahan di kem juga menghadapi tekanan hebat,” kata Aksoy.

Oleh yang demikian, Turki menyeru masyarakat antarabangsa dan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres “untuk mengambil langkah berkesan demi menamatkan tragedi kemanusiaan di wilayah Xinjiang” itu.

Kebanyakan negara Islam dilaporkan tidak lantang bersuara mengenai isu ini dan tidak mengkritik kerajaan China yang menjadi ‘rakan kongsi dagang’ penting bagi mereka.

Ujar Aksoy, Turki mendapat tahu tentang kematian “tragik” seorang penyair dan ahli muzik warga Uighur, Abdurehim Heyit ketika berada di dalam tahanan.

“Insiden tragik ini mengukuhkan lagi reaksi Turki terhadap pelanggaran hak asasi manusia yang serius di wilayah Xinjiang,” tegasnya.

Sumber: AFP

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker