MalaysiaPolitik

Perlukah Kabinet Sahkan Kelayakan Akademik Menteri?

Ahli politik yang mempunyai ijazah dan sijil dari institusi pengajian tinggi yang meragukan hanya memburukkan imej dan menunjukkan sifat yang tidak profesional, kata penganalisis politik.

Walau bagaimanapun, banyak yang melakukannya untuk meningkatkan kedudukan sosial atau untuk memenangi hati rakyat jelata.

Pensyarah Undang-undang Universiti Malaya Prof Madya Dr Azmi Sharom berkata bahawa dengan sengaja mendapat gelaran dari institusi yang meragukan menunjukkan kekurangan keyakinan diri dan kekurangan watak yang baik.

“Untuk benar-benar membeli ijazah dari tempat-tempat ini, kemudian untuk memaparkannya, bagi saya itu bukan jenayah tetapi satu tanda kekurangan profesionalisme.

“Mungkin ahli-ahli politik merasakan keperluan untuk memalsukan kelayakan akademik mereka kepada orang ramai,” kata Dr Azmi.

Beliau mengulas mengenai integriti di kalangan pemimpin Pakatan yang terlibat dengan sijil yang tidak diiktiraf. Beberapa kelayakan akademik ahli politik Pakatan Harapan telah dipersoalkan baru-baru ini.

Semuanya bermula dengan Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya yang berkata Ijazahnya adalah dari Cambridge International University di Amerika Syarikat, selepas sebelum ini mengatakan beliau mempunyai ijazah dari University of Cambridge.

Yang terkini ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamarudin selepas pengguna Twitter mendakwa namanya tidak dijumpai di portal pengesahan ijazah dalam talian National University of Singapore.

Walau bagaimanapun, Zuraida berkata beliau tidak pernah mendakwa atau mengesahkan dirinya sebagai graduan NUS dan tidak pernah membenarkan orang lain berbuat demikian.

Kini timbul persolan sama ada perlukah kabinet mengesahkan kelayakan akademik semua pemimpin seperti yang dilakukan oleh universiti sebelum graduan layak mencari kerja?

Presiden Gerakan Datuk Dominic Lau, berkata amalan ini perlu diterapkan kepada menteri, timbalan menteri, ketua menteri dan menteri besar.

“Ini adalah satu bentuk tindakan pencegahan, sebagai contoh, apabila saya ingin memohon jawatan profesor, universiti akan memeriksa kelayakan akademik saya bermula dari Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan PhD.

“Kita mempunyai pangkalan data akademik dan ia harus dimanfaatkan,” katanya.

Kontroversi ini memberi kesan kepada pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berikrar akan menentang korupsi dan meningkatkan integriti kerajaannya.

Perdana Menteri berkata tiada keputusan dibuat mengenai perkara itu. Tun Mahathir yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia berkata mereka tidak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku kepada Marzuki.

Ketua PKR Selangor dan Menteri Besar Amirudin Shari berkata tidak ada yang memalukan bagi ahli politik yang tidak mempunyai kelayakan akademik yang tinggi kerana kejujuran lebih penting.

“Ia bukan soal kelayakan dan dari mana ia diperolehi. Persoalannya adalah kejujuran dan saya yakin ini adalah imej yang akan menarik perhatian rakyat berbanding kelayakan akademik,” katanya.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker