Isu SemasaTempatan

Fikir Dua Kali Sebelum Memohon Kerja Guna Ijazah Palsu

Dalam era yang semakin canggih ini, sering kali kita disajikan dengan berita atau isu pemalsuan ijazah untuk mendapatkan pekerjaan.

Menurut Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia, Datuk Shamsuddin Bardan, pekerja yang mengemukakan ijazah palsu berdepan risiko dibuang kerja.

“Sekiranya seseorang pekerja didapati bersalah memalsukan ijazah untuk mendapatkan pekerjaan atau kenaikan pangkat, hukuman yang biasa adalah pembuangan kerja memandangkan kesalahan itu dianggap sebagai satu salah laku yang serius,” kata Shamsuddin.

Dalam bidang profesional, tindakan memalsukan ijazah selalunya dilakukan oleh pekerja yang mahu mengagumkan majikan atau bakal majikannya.

“Memang ada sesetengah pekerja yang memalsukan ijazah mereka, dan ijazah-ijazah palsu ini dihasilkan oleh mereka ketika mahu memohon pekerjaan atau ketika sudah bekerja.

“Individu yang memalsukan ijazah untuk permohonan kerja secara jelas mahu mengagumkan majikan, dan membuat majikan berfikir bahawa mereka mempunyai kelayakan yang diperlukan untuk diambil sebagai pekerja,” ujarnya.

Tambah Shamsuddin lagi, pekerja yang mengemukakan ijazah palsu ketika sudah bekerja pula selalunya mahu meyakinkan majikan untuk menaikkan pangkat mereka dan diberi peranan yang lebih penting.

Sementara itu, Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, beliau mendapati bahawa terdapat individu-individu dalam bidang perniagaan yang mendapatkan ijazah daripada ‘kilang’ yang mengeluarkan sijil tidak sah.

“Saya pernah melihat sesetengah orang ini, terutamanya mereka dalam industri perniagaan.

“Mereka mendakwa bahawa mereka memperoleh ijazah sarjana atau gelaran Dr atau Profesor, sedangkan ijazah yang sebenar mengambil masa bertahun-tahun untuk diperoleh.

“Mereka selalunya tidak meletakkan gelaran ijazah mereka pada kad nama untuk mengelak daripada dikesan,” kata Chong.

Jelas Chong, sebab utama individu-individu berkenaan memalsukan ijazah mereka adalah untuk mendapatkan kredibiliti dan kepercayaan – sama seperti segelintir individu yang memalsukan gelaran seperti “Datuk.”

 

 Sumber: The Star

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button