Isu SemasaTempatan

Usaha Kerajaan Memerangi Cetak Rompak Masih Tidak Cukup?

Gejala cetak rompak dilihat semakin ‘bermaharajalela’ pada zaman yang semakin canggih ini, lebih-lebih lagi dengan kewujudan kotak pengstriman filem yang mengandungi kandungan-kandungan tidak sah.

Dalam satu kenyataan pada hujung Januari lalu, Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Datuk Norman Abdul Halim berkata, usaha pihak berkuasa untuk memerangi gejala tersebut masih tidak mencukupi.

“Perlu ada unit khusus untuk memantau pelanggaran hak cipta. Mungkin kerajaan juga harus membuat pindaan undang-undang berkaitan hak cipta.

“Mengharamkan penjualan kotak-kotak TV yang boleh mengakses kandungan tidak sah boleh menjadi salah satu cara untuk menangani isu-isu cetak rompak. Penguatkuasaan yang lebih ketat juga adalah satu lagi langkah yang boleh diambil,” katanya.

Bersetuju dengan pandangan bahawa Malaysia perlu mengikuti cadangan Singapura untuk mengharamkan penjualan kotak pengstriman media, Norman berkata produk-produk industri kreatif harus dilindungi dengan baik supaya industri tersebut boleh terus berkembang.

“Bagi mana-mana industri untuk berkembang, produk-produknya perlu dilindungi. Pelabur perlu mendapatkan pulangan mereka.

“Sekiranya semua kandungan boleh diakses dengan percuma, ia akan mengganggu seluruh ekosistem. Pelanggan pula akan mendapat kandungan tidak berkualiti,” tegasnya.

Norman yang juga Presiden Eksekutif Kumpulan KRU menyatakan bahawa isu-isu cetak rompak juga akan memberi kesan terhadap bagaimana industri filem membayar bakat-bakat mereka sekali gus akan menjejaskan kualiti produksi.

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan bahawa kos produksi filem-filem Malaysia telah meningkat kepada RM6 juta sehingga RM10 juta bagi setiap filem sejak beberapa tahun kebelakangan ini, berbanding di antara RM500,000 dan RM1.5 juta pada kira-kira 5 tahun lalu.

“Ini juga menjadi sebab mengapa kita mempunyai filem-filem tempatan yang lebih berkualiti pada masa ini. Filem-filem ini telah menunjukkan prestasi yang baik di box office. Ia juga mempunyai lebih banyak kandungan yang boleh ‘dieksport’ juga.

“(Tetapi) jika kandungan-kandungan tersebut boleh diakses dengan begitu mudah secara percuma, bagaimana boleh kita mengeksportnya?,” soal beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studio, Datuk Ahmad Izham Omar berkata, kerajaan boleh menggunakan pendekatan “lobak merah dan kayu” untuk menangani isu ini.

Ini bermakna, kerajaan perlu meningkatkan kesedaran awam dan juga melaksanakan penguatkuasaan yang lebih ketat serta mengenakan penalti terhadap pesalah.

“Masalah utamanya adalah orang ramai tidak menganggap ia sebagai satu kesalahan untuk berbuat demikian….Mereka tidak rasa bersalah apabila mereka mengakses kandungan haram menerusi kotak-kotak (pengstriman) itu,” jelasnya.

Sumber: The Star

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker