Hiburan

Pakistan Haramkan Televisyen Siar Adegan Intim Dalam Drama

Saluran televisyen Pakistan tidak lagi dibenarkan memaparkan adegan intim atau adegan ‘di atas katil’ dalam drama yang disiarkan, umum penguatkuasa penyelia kandungan media negara itu.

Ia susulan dakwaan terlalu banyak kandungan bertemakan feminis dan ‘berani’, yang disifatkan menyinggung penonton, lapor AFP.

Arahan itu dikeluarkan oleh Jabatan Kawalselia Media Elektronik Pakistan (PEMRA) dan meminta saluran televisyen agar menghormati garis panduan tersebut dan tidak menyiarkan kandungan yang tidak menggambarkan kehidupan sebenar masyarakat Pakistan.

“Adegan, dialog yang tidak sopan, hubungan luar nikah, keganasan, berpakaian tidak sesuai, adegan rogol, berpelukan, adegan di atas katil, penggunaan dadah dan alkohol, saat-saat intim antara pasangan dipopularkan sehingga mengabaikan kebudayaan dan nilai-nilai di negara ini,” kata PEMRA dalam satu kenyataan.

Drama televisyen di Pakistan sejak kebelakangan ini banyak dilihat cuba mencabar cara konservatif yang diamalkan negara itu, dengan majoriti berlatarbelakangkan plot yang menggambarkan isu-isu sosial seperti keganasan rumah tangga, penderaan kanak-kanak, keganasan dan wanita.

Drama dan drama bersiri Pakistan, kebanyakannya mahu mencabar pantang larang di negara berkenaan, amat popular, menurut data PEMRA dan Gallup Pakistan.

Ia berkisarkan plot yang menggambarkan isu sosial seperti keganasan rumah tangga, penderaan anak dan prejudis terhadap wanita.

Aktivis sebelum ini memuji ia sebagai alat paling berpengaruh untuk perubahan akar umbi.

Tahun lalu, drama bersiri menonjolkan kehidupan bintang media sosial, Qandeel Baloch, yang terkenal dengan swafoto provokatif sehingga pembunuhan mengejutnya oleh abangnya pada 2016, berada di tangga tertinggi carta.

Rancangan lain turut menyerlahkan isu pembunuhan dan perkahwinan paksa, walaupun dikecam di media sosial dan orang ramai menuduh saluran televisyen menyebarkan isu tidak bermoral dan menghancurkan nilai-nilai sosial.

Dalam pernyataannya, PEMRA berkata drama-drama itu “menggambarkan imej wanita yang melampau dan telah memfokuskan kepada isu-isu feminis semata-mata sehingga mengabaikan isu kanak-kanak, remaja dan lelaki.”

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button