Isu SemasaPolitikTempatan

Adakah Bekas PM Thai Yang Hidup Dalam Buangan Mampu Buat ‘Comeback’ Politik?

Setelah berkali-kali ditangguhkan, Thailand akhirnya akan melangsungkan pilihan raya umum pada 24 Mac ini selepas hampir lima tahun tentera Thailand menggulingkan kerajaan Demokratik yang dipimpin oleh bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra,

Walau bagaimanapun, apa yang berlaku kepada Yingluck merupakan sejarah yang berulang.

Menurut kolumnis The Star, Philip Golingai menerusi penulisannya bertajuk “Can Thaksin make a political comeback?”, tentera pada tahun 2006 pernah melancarkan rampasan kuasa terhadap abangnya, Thaksin Shinawatra, yang juga memegang jawatan Perdana Menteri ketika itu.

Ketika rampasan kuasa tersebut berlangsung, Thaksin sedang berada di New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Saya mengingati rampasan kuasa tersebut. Pada waktu itu, saya merupakan koresponden The Star Thailand yang berpangkalan di Bangkok dan juga editor Asia News Network (ANN),” katanya.

Difahamkan, rampasan kuasa itu diberi gelaran “Happy Coup” kerana ramai penduduk Bangkok membenci Thaksin dan gembira untuk melihat pengakhiran pemerintahannya.

Tetapi, penggulingan kuasa terhadap kerajaan pimpinan Thaksin tidak menamatkan cengkaman politik beliau di Thailand.

“Bilionair itu (Thaksin) adalah seperti ‘Terminator’. Beliau akan kembali semula – menerusi parti-parti politik yang berkaitan dengannya,” jelas Philip.

Walaupun hidup dalam buangan, parti politik Thaksin, People Power Party (PPP), iaitu penjelmaan semula partinya Thai Rak Thai yang telah dibubarkan, memenangi pilihan raya umum pada tahun 2007.

Setahun selepas itu (2008), PPP kehilangan kuasa apabila Mahkamah Perlembagaan memutuskan untuk memecat Perdana Menteri, Somchai Wongsawat, yang merupakan suami kepada adik perempuan Thaksin dan Ying Luck.

Mahkamah telah membubarkan PPP atas kesalahan melakukan penipuan pilihan raya dan turut mengharamkan pemimpin-pemimpin parti itu daripada terlibat dalam politik selama 5 tahun.

Ketika itu juga, ketua pembangkang, Abhisit Vejjajiva menubuhkan parti Demokrat, di mana beliau kemudian membentuk gabungan dan menjadi Perdana Menteri.

Dalam pilihan raya tahun 2011, parti Pheu Thai (penjelmaan semula PPP) telah meraih kemenangan besar sekali gus menjadikan Yingluck perdana menteri wanita Thailand yang pertama dalam sejarah.

Namun, pemerintahan beliau tidak kekal lama berikutan rampasan kuasa yang dilancarkan oleh tentera pada tahun 2014.

Peristiwa tersebut merupakan rampasan kuasa yang ke-12 berlaku di Thailand sejak tahun 1932.

Memandangkan pilihan raya seterusnya bakal diadakan tidak lama lagi, persoalannya adalah adakah Thaksin – di mana partinya tidak pernah tewas dalam pilihan raya – akan mampu membuat ‘comeback’ atau kembali semula ke dalam arena politik Thai?

Philip berkata, beliau telah berjumpa dengan Sean Boonpracong, bekas penasihat keselamatan negara kepada Ying Luck dan Cod Satrusayang, pengurus editorĀ  ANN dalam dua pertemuan berbeza untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai politik Thai.

Apabila disoal tentang sama ada Thaksin akan mampu membuat comeback atau tidak, ini jawapan Boonpracong:

“Sememangnya ya, kerana parti Thai Rak Thai, PPP dan Pheu Thai – yang merupakan penjelmaan semula markas politik Thaksin – tahu bagaimana untuk menarik aspirasi politik rakyat.”

Jelas Boonpracong, pihak tentera gagal menunaikan apa yang dikehendaki oleh rakyat walaupun sudah memerintah selama empat tahun.

Tambahnya lagi, pelbagai tinjauan pendapat awal mendapati bahawa parti Pheu Thai dan sekutu-sekutunya seperti Thai Raksa Chart dan Future Forward Party, berpotensi memenangi 272 sehingga 300 daripada 500 kerusi di Parlimen.

Sementara itu, Satrusayang turut berpandangan bahawa parti Thaksin masih akan memperoleh kemenangan walaupun perlu menghadapi pelbagai halangan.

“Ia kelihatan seperti Pheu Thai masih akan menang. Walaupun peluang tidak berapa berpihak kepada mereka, walaupun tentera mengedraf perlembagaan yang anti-mereka, walaupun kawasan-kawasan pilihan raya disusun semula, mereka masih akan menang,” kata Satrusayang.

Sumber: The Star

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker