AntarabangsaIsu Semasa

Facebook Perkenal ‘Alat’ Baru Tangani Campur Tangan Pilihan Raya

Facebook telah mendedahkan alat baru untuk menangani campur tangan politik atas talian (online) dalam pilihan raya Eropah.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha gergasi media sosial itu untuk membendung penyebaran maklumat/berita palsu.

Naib Presiden Facebook, Nick Clegg dalam sebuah ucapan berkata, kaedah baru tersebut akan mula berkuatkuasa pada hujung bulan Mac ini dan akan “menjadikan pengiklanan politik di Facebook lebih telus.”

Peraturan baru ini akan mewajibkan iklan-iklan politik yang berkaitan dengan Pilihan Raya Eropah pada 23 – 26 Mei untuk dikendalikan oleh pihak yang sewajarnya dan perlu menyatakan secara jelas ia dibayar oleh siapa. 

Menurut Clegg, peralatan berkenaan juga akan meliputi iklan yang “menyokong seseorang calon atau parti politik secara tidak langsung dan topik-topik yang sering dipolitikkan seperti imigresen.”

Iklan-iklan tersebut kemudian akan disimpan di dalam server selama 7 tahun, berserta butiran-butiran terperinci mengenai pembeli iklan itu.

Tahun lepas merupakan ‘mimpi ngeri’ buat Facebook kerana terpalit dalam pelbagai skandal berkaitan perlindungan dan privasi data, serta dakwaan bahawa media sosial itu dimanipulasi oleh pihak asing bagi tujuan politik.

Pengkritik juga mendakwa bahawa Facebook digunakan sebagai platform untuk menyebarkan maklumat palsu seperti yang berlaku ketika Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2016.

Iklan-iklan di Facebook juga telah disiasat oleh FBI kerana dipercayai digunakan oleh Rusia untuk masuk campur dalam pilihan raya AS, namun perkara itu dinafikan oleh Kremlin. 

 

Sumber: AFP

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker