Isu SemasaSains

Saintis Berjaya Menghasilkan Batu Bata Daripada Air Kencing

Sebuah universiti di Afrika Selatan telah berjaya melakukan inovasi dengan mendapatkan alternatif bagi membina bahan bangunan dari bahan mesra alam. Batu bata mesra alam ini merupakan hasil kajian oleh dua pelajar University of Cape Town dan pensyarah mereka. Dengan menggunakan geran daripada kerajaan – Water Research Council, mereka telah memulakan kajian dengan menggunakan urin (air kencing) sintetik yang kemudiannya beralih menggunakan air kencing manusia.

Prototaip batu bata urin ini telah dilakukan dengan teknik yang hampir sama dengan pembentukan batu karang yang mengambil masa enam sehingga lapan hari untuk terbentuk.

Pensyarah Dylan Randall (tengah) bersama dua anak seliaannya.

“Saya selalu tertanya-tanya mengapa kita tak menggunakan urin untuk melakukan perkara yang sama,” kata Dyllon Randall, pensyarah yang menyelia dua pelajar dalam kajian ini. “Jawapan yang paling ringkas: ‘Ya, kita boleh lakukannya’.”

Setahun setelah itu mereka telah berjaya menghasilkan batubata-bio yang pertama di makmal mereka.

 

Bagaimana BatuBata-Bio ini Dibina?

Menggunakan proses semulajadi yang dikenali sebagai pemendakan mikrobial karbonat, mereka mencampurkan urin, pasir dan bakteria untuk menghasilkan batu bata tersebut.

Menurut para pengkaji, kajian ini masih di dalam peringkat awal dan ia memerlukan 30 liter urin untuk menghasilkan satu batu bata. Urin yang mereka dapati ialah daripada pelajar lelaki di universiti tersebut.

Batu-bata hasil urin

“Proses pembuatan batubata-bio ini sangat menakjubkan kerana pada asalnya kami membina batu bata tersebut pada suhu bilik,”jelas Randall.

 

Perbezaan BatuBata-Bio Dengan Batu Bata Biasa

Batu bata yang biasa selalunya dihasilkan melalui pengeringan pada suhu 1400 darjah celcius yang melepaskan karbon dioksida dengan jumlah yang besar.

Berlainan dengan batubata-bio yang dihasilkan daripada pasir dan bakteria yang menghasilkan enzim yang dipanggil urease.

Urease bereaksi dengan urea di dalam urin yang menghasilkan kompaun yang mengikat pasir tersebut.

Produk ini boleh diletakkan di dalam acuan dan menghasilkan pelbagai bentuk dan dikeringkan menggunakan suhu bilik tanpa menggunakan oven dan tidak menghasilkan gas karbon yang mengancam rumah hijau.

“Kami menggunakan sesuatu yang dikatakan kotoran terbuang seperti urin dan menggunakannya dengan proses mampan,” kata Randall.

 

Bangunan Bakal Berbau Air Kencing Jika Menggunakan BatuBata-Bio?

Bagi yang tertanya-tanya tentang bau urin yang bakal dikeluarkan jika digunakan membina bangunan, berita baik ialah ianya tidak mengeluarkan bau sama sekali. Bau ammonia kuat yang dikeluarkan oleh urin itu akan hilang setelah berhari-hari dikeringkan.

 

Kuat Ke Batu Bata Air Kencing Ini?

Vukheta Mukhari yang juga mengkaji batu bata ini berkata batu bata yang mereka hasilkan ini boleh dihasilkan mengikut spesifikasi yang dimahukan oleh bangunan. Namun apa yang dihasilkan oleh mereka adalah sama kukuh seperti batu bata yang terdapat di pasaran.

 

Adakah kita bakal melihat batu bata ini di pasaran dan menggantikan batu bata yang sedia ada?

Kunci utama yang dihadapi ialah harga tetapi pada masa sekarang mereka belum lagi melakukan kajian terhadap kos yang diperlukan untuk menghasilkan batubata-bio ini secara komersial.

“Buat masa sekarang kami memerlukan 20 hingga 30 liter untuk menghasilkan satu batu bata yang standard. Ia memang kedengaran seperti jumlah yang besar tetapi kita harus ingat 90% daripada urin ialah air,” jelas Randall.

“Kami juga sedang memperlihatkan bagaimana untuk mengurangkan urin bagi membina satu batu bata. Saya pasti pada beberapa tahun yang akan datang kita akan mendapat keputusan yang lebih baik.”

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker