AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Kakak Sulung Raja Thai Bakal Jadi Perdana Menteri Thailand?

Kakak sulung kepada Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn telah dipilih menjadi calon perdana menteri untuk parti yang mempunyai kaitan dengan bekas pemimpin, Thaksin Shinawatra, pada Pilihan Raya Umum yang akan berlangsung pada 24 Mac tidak lama lagi.

Memetik laporan Bloomberg, Puteri Ubolratana Rajakanya, 67, merupakan satu-satunya calon perdana menteri yang diumumkan oleh Thai Raksa Chart Party pada pagi Jumaat, 8 Februari 2018.

Tindakan tidak dijangka yang diambil oleh Ubolratana ini juga menandakan kali pertama dalam sejarah Thai yang menyaksikan penglibatan keluarga diraja dalam politik dan pilihan raya.

“Ahli lembaga parti bersetuju bahawa Puteri Ubolratana, seorang individu yang berpendidikan dan berkemahiran, adalah pilihan yang paling sesuai untuk menjadi perdana menteri,” kata pemimpin Thai Raksa Chart Party, Preechapol Pongpanich.

Difahamkan, parti tersebut telah ditubuhkan oleh ramai bekas anggota Pheu Thai Party yang memenangi pilihan raya pada tahun 2011, namun pemerintahannya telah digulingkan oleh tentera pada 2014.

Pada pilihan raya kali ni, Thai Raksa Chart Party akan berganding bahu dengan Pheu Thai Party.

Ubolratana merupakan anak sulung kepada mendiang Maharaja Thai, Bhumibol Adulyadej.

Beliau pernah melepaskan gelaran dirajanya ketika berusia 21 tahun apabila berkahwin dengan rakan universitinya di Massachusetts Institute of Technology.

Namun, rumah tangga mereka tidak berkekalan dan bercerai pada tahun 1998. Kemudian, Ubolratana pulang semula ke Thailand dan terus menerima menerima layanan sebagai seorang anggota keluarga kerabat.

Puteri tersebut juga mempunyai pengaruh yang luas di media sosial berbanding adik-beradiknya yang lain, termasuk memiliki akaun Instagram dengan kira-kira 100,000 pengikut.

Menurut penganalisis, penglibatan Ubolratana dalam pilihan raya kali ini merupakan satu peralihan yang penting di dalam negara yang menganggap keluarga diraja sebagai ‘separa-dewa’.

“Ini adalah satu perkara yang amat baru untuk masyarakat Thai,” kata Dr. David Streckfuss, seorang ilmuan politik Asia Tenggara dan Felo Kehormat di University of Wisconsin-Madison.

Sementara itu, Dr Paul Chambers, seorang pensyarah di Naresuan University’s College of Asean Community Studies di Thailand berkata, “ini merupakan satu peristiwa yang tidak pernah berlaku di Thailand.”

“Ia akan menjadi sukar bagi parti-parti lain untuk menentang puteri tersebut. Ia akan menjadi sukar bagi sesiapa pun yang mahu berkempen menentangnya.

“Pengundi pula akan mengalami kesukaran untuk memilih seseorang yang bukan sebahagian daripada partinya, kerana ideologi Thai meletakkan kerabat diraja di (tahap) yang tertinggi,” jelas Dr Paul.

Sumber: Bloomberg
Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker