Bisnes & Ekonomi

AKABA Membantu Komuniti Islam Melalui Perniagaan Sosial Mereka

Jalan di Manila yang sesak telah melambatkan jadual perjalanan yang ditetapkan oleh Mabuhay Restop untuk rombongan kami bersama Yayasan Amanah Belia (MyHarapan).

Kerana kesuntukan masa, kami makan tengahari di dalam bas. Makanan Arab yang disediakan ini memang banyak dan mengenyangkan – ada nasi, roti pita, ayam cincang, sayuran. Fuh! Alhamdulillah..

Destinasi kami seterusnya ialah untuk melawat AKABA, sebuah perniagaan sosial yang menghasilkan pelbagai jenis beg untuk lelaki dan perempuan dengan menggunakan kain tenun oleh sebuah suku kaum di Filipina.

AKABA bermula dengan tiga sahabat yang ingin menjadi pelopor inovasi sosial di Filipina. Mereka mahu menjadi duta kepada budaya Filipina dan bersaing dengan jenama antarabangsa Herschel.

 

Lapan Kedai Dalam Masa Empat Tahun

Perniagaan yang bermula tahun 2014 ini telah berkembang pesat sehingga kini memiliki lapan kedai sendiri dan outlet bersama Go Lokal! Concept Store yang terletak di Cebu dan Manila serta Cambio & Co yang membawa jenama fesyen Filipina yang mesra alam ke Amerika dan Kanada.

Tiga sahabat yang mempelopori jenama beg buatan warga tempatan ini ialah EJ Isada Mariano, Daniel Lumain dan Alex Foong.

Pengasas AKABA – Alex, EJ dan Daniel (Dari kiri ke kanan)

EJ yang merupakan CEO dan Pengarah Kreatif jenama AKABA ini turut berada di tempat pengeluaran/kilang beg AKABA yang mana kami kunjungi. Menurutnya mereka juga memiliki pejabat yang terletak di bangunan berlainan dari yang kami lawati.

Suasana di tempat pengeluaran beg AKABA ini tidaklah terlalu besar. Ia cukup untuk menyimpan stock beg mereka dan juga beberapa barangan keluaran syarikat tersebut dan juga satu lagi ruangan untuk menjahit beg.

Semasa kami tiba di situ para pekerja di situ sibuk sedang menjahit beg sambil diselia oleh seorang wanita. Mereka bukanlah dari komuniti yang perlu bantuan tetapi sebaliknya memang tukang jahit berpengalaman.

Menurut penyelia mereka, ada yang pernah bekerja di kilang jenama antarabangsa dan terkenal tetapi telah berpindah ke AKABA kerana syarikat ini lebih memiliki sentuhan sosial dan merupakan jenama anak bangsa mereka.

 

Mahu Filipina lebih dikenali dari sekadar Manny Pacquiao!

EJ merupakan seorang CEO yang sangat ramah tetapi memastikan anak buah yang telah ditugaskannya untuk memainkan peranan masing-masing dalam menceritakan kisah perjalanan AKABA.

Pengasas AKABA ini terinspirasi apabila telah didedahkan dengan masalah sosial yang semakin parah di kalangan orang termiskin di Filipina.

Mereka sedar bahawa dengan menwujudkan perniagaan sosial ia dapat membantu golongan ini dan memainkan peranan untuk negara mereka.

Menggelarkan diri mereka ‘Filipino patriots’ seperti di dalam sebuah laman shopcambio.co, tiga sahabat ini telah mencipta perniagaan beretika yang berkongsikan hasil tangan Filipina kepada seluruh dunia.

EJ berkata mereka mahu orang mengenali Filipina lebih dari sekadar Manny Pacquiao!

 

Turut Mendapatkan Kain Tenun Dari Komuniti Islam

Memegang filosofi dengan prinsip ‘bayanihan’ yang bermaksud bekerjasama dengan komuniti untuk menyempurnakan sesuatu tugasan yang sukar, mereka berkata kejayaan dan pertumbuhan syarikat ini adalah sejajar dengan kemajuan yang dialami oleh orang yang membuat kain tenun untuk mereka.

AKABA mahu menjadi jambatan bagi menghubungkan modal insan dan pengalaman para pembikin kain tenun bersama pelanggan yang membeli beg hasil ciptaan mereka.

Kain tenun yang digunakan oleh AKABA ini diambil daripada pelbagai komuniti di seluruh Filipina. Antaranya ialah Ilocos Norte, Isabela Province, Oriental Mindoro, Zamboanga, Basilan dan Sulu.

Sumber Imej : Facebook AKABA
Sumber Imej: Facebook AKABA

Mereka mengaku bahawa bekerja dengan komuniti ini juga tidaklah semudah yang disangkakan. Mereka membeli hasil tenunan mereka pada harga pasaran (lebih tinggi daripada pemborong lain) dan menyediakan mereka dengan perkara yang diperlukan oleh komuniti tersebut.

Contohnya di Ilocos, mereka pada awalnya tidak suka atau ragu-ragu untuk berjumpa dengan doktor apabila ditawarkan dengan perkhidmatan perubatan. Menurut komuniti ini ia adalah lebih murah membeli keranda daripada berjumpa dengan doktor.

AKABA tetap berusaha dengan komuniti ini untuk mendidik mereka tentang menjalani kehidupan yang lebih dan memberi mereka insurans perubatan. Sejak daripada itu, mentaliti komuniti tersebut telah berubah dan mereka akhirnya mencari doktor apabila sakit.

Selain daripada itu, AKABA juga menyekolahkan anak-anak pembuat kain tenun sehinggalah mereka sendiri mampu untuk melakukannya sendiri.

Menurut pekerja AKABA, selalunya mereka akan menjelajah ke komuniti-komuniti ini dan melihat keadaan mereka serta apa yang diperlukan oleh mereka selain wang. Setelah itu mereka akan cuba sama ada mencari dana untuk menyalurkan apa yang patut kepada komuniti miskin ini.

Dari kain tenun ini mereka menghasilkan beg dengan EJ sebagai ketua pereka. Kini ramai anak muda telah pun berkerja di bawah payung AKABA untuk menciptakan pelbagai rekaan yang terkini untuk setiap lapisan umur.

 

Bagaimana AKABA Mendapat Dana?

Menurut entrepreneur.com.ph, AKABA telah mendapat dana pertama mereka dengan berkolaborasi dengan GKonomics dengan jumlah P150,000 (RM11,700) untuk membuka kedai atas talian mereka.

Setelah itu mereka berkembang dengan memasuki beberapa pertandingan perniagaan dan mereka telah memenangi sebuah pertandingan “I Am A Changemaker” yang dianjurkan oleh British Council di Filipina dan juga menjadi finalis dalam “Social Entrepreneurship Venture Day Manila” oleh Ateneo Center for Social Entrepreneurship yang juga telah membuat mereka memenangi P150,000 (RM11,700).

Pada tahun 2016, mereka juga telah mendapat pelaburan dari Singapura dan Indonesia.

AJ berkata mereka masih ingin untuk berkembang untuk mengadakan kedai di luar negara. Itulah misi dan langkah seterusnya yang AKABA ingin capai.

 

___

*Ikuti lagi perjalanan kami bersama myHarapan menelusuri perniagaan sosial di Manila, Filipina pada rencana seterusnya.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker