Sukan

Mayat Dikeluarkan Dari Pesawat Yang Membawa Emiliano Sala

Pasukan pencarian berjaya mengesan mayat di dalam bangkai pesawat yang membawa pemain bola sepak Liga Perdana Inggeris, Cardiff City Emiliano Sala dan juruterbang David Ibbotson.

Pencarian pada Ahad menemui pesawat Piper Malibu pada dasar laut di persisiran pantai Guernsey, dua mingggu selepas ia dilaporkan hilang dan perkara ini telah disahkan oleh Cawangan Siasatan Kemalangan Udara Britain (AAIB) pada Isnin lalu.

Pesawat yang membawa penyerang warga Argentina Emiliano Sala, 28 tahun, dan Ibbotson, 59 tahun, dari Nantes, barat laut Perancis, menuju ke Cardiff itu telah jatuh pada kedalaman 67 meter.

Penemuan bangkai pesawat itu dibuat pada Ahad oleh pasukan Mearns yang dilancarkan keluarga Sala dan dibiayai dana umum selepas pihak berkuasa menghentikan operasi pencarian secara rasmi.

 

Kebimbangan Keluarga Sala Terjawab

“Kebimbangan keluarga Sala selama ini telah terjawab walaupun mereka terpaksa mengambil masa yang lama untuk menghilangkan kesedihan,” kata Ketua pencarian David Mearns.

Keluarga Sala yang sebelum ini berharap untuk menemui semula Sala dan keliru mengapa misi pencarian Emiliano Sala dihentikan oleh pihak Polis Guernsey.

“Saya amat keliru,” kata kakak Sala, Romina, kepada ESPN.

“Perkara yang saya mahukan adalah untuk adik saya dan juruterbangnya ditemui. Kami mahu mereka (pihak berkuasa) untuk meletakkan diri mereka di tempat kami. Mereka perlu bayangkan apa yang dirasai kaum keluarga mangsa.

“Tolong jangan berhenti mencari. Saya yakin mereka masih hidup. Mereka sedang menunggu kami,” katanya.

“Kami amat berharap untuk operasi pencarian itu diteruskan,” kata Bapa Sala, Horacio, kepada TYC Sports yang turut menggesa pihak Polis Guernsey untuk mempertimbangkan kembali keputusan mereka.

“Saya tidak percaya mereka menghentikan operasi pencarian itu. Saya bermohon kepada mereka untuk operasi itu diteruskan.

“Tidak mungkin pesawat itu hilang begitu sahaja,” katanya.

Gambar anjing kesayangan milik Emiliano Sala yang dikongsikan oleh kakak Sala. Sumber Imej: dailymail.co.uk

 

Anjing Kesayangan Sala Turut Bersedih

Kakak Sala juga telah berkongsi sekeping gambar menyayat hati yang memaparkan anjing peliharaan Sala menanti kepulangan tuannya.

Anjing yang diberi nama Nala itu dirakam berada di pintu, seolah-olah sedang termenung jauh menantikan Sala lapor astroawani.

Difahamkan, Nala yang dipelihara Sala sejak 2015, dijadual dibawa bersama ke Cardiff selepas perpindahan pemain berusia 28 tahun itu dari Nantes ke Cardiff City dimuktamadkan, dua minggu lalu.

Minggu lepas beberapa dua kusyen kerusi yang dipercayai dari pesawat malang itu ditemui dipersisiran pantai Perancis.

Laporan pada pagi ini telah mengatakan bahawa mayat yang dikesan di dalam bangkai pesawat yang membawa pemain Cardiff City, Emiliano Sala, dan juruterbang David Ibbotson, telah berjaya dibawa keluar, kata penyiasat.

Cuaca Buruk Menyukarkan Operasi

Menurut Cawangan Siasatan Kemalangan Udara Britain (AAIB), kenderaan kawalan jauh (ROV) digunakan dengan begitu cermat untuk mengeluarkan mayat itu dalam operasi yang sangat mencabar, susulan keadaan cuaca buruk.

Mayat itu kemudiannya dibawa ke Isle of Portland sebelum diserahkan kepada unit forensik di Dorset tetapi identiti mayat berkenaan tidak didedahkan oleh agensi tersebut.

 

Nantes Tuntut Bayaran Sala

Sementara itu, Nantes telah mengambil langkah undang-undang terhadap Cardiff City bagi menuntut bayaran pertama dalam pembelian pemainnya, Emiliano Sala, yang hilang ketika menaiki sebuah pesawat dalam perjalanan ke Wales pada 21 Januari lalu.

Menurut laporan Sky Sports, kelab bola sepak Ligue 1 itu menuntut bayaran awal sebanyak 5 juta paun Sterling atau RM26 juta.

Mereka mahu bayaran tersebut dilakukan serta merta.

 

Jawapan Mengapa Cardiff City Belum Melakukan Pembayaran

Cardiff dilaporkan belum lagi membuat apa-apa bayaran dalam pembelian penyerang warga Argentina bernilai 15 juta paun itu.

Ini kerana, kelab Liga Perdana Inggeris itu mahu operasi pencarian pesawat malang yang dipercayai terhempas di Selat Inggeris itu selesai sebelum apa-apa bayaran dibuat.

Dalam satu kenyataan, Cardiff berkata pihaknya tetap akan membayar wang perpindahan tersebut, namun ingin siasatan ke atas kejadian selesai sebelum berbuat demikian.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker