AntarabangsaIsu Semasa

Empat Kumpulan Pemberontak Myanmar Disekat Oleh Facebook

Baru-baru ini, Facebook telah mengenakan sekatan terhadap empat kumpulan pemberontak Myanmar yang memerangi tentera negara itu daripada rangkaian sosialnya.

Menurut gergasi media sosial itu, ia mahu membendung sebarang bentuk kerosakan di luar talian (offline) daripada berlaku dengan membuang kumpulan-kumpulan yang dianggap sebagai “organisasi berbahaya.”

Jelas Facebook, ia telah membuang ratusan akaun, halaman, dan kumpulan yang dikaitkan dengan tentera Myanmar sejak bulan Ogos lalu.

Difahamkan, tindakan ini diambil selepas Facebook dikritik kerana “tidak berusaha dengan cukup” untuk menghalang kandungan-kandungan berunsur keganasan dan kebencian daripada terus tersebar di rangkaiannya.

Empat buah kumpulan pemberontak yang telah diharamkan adalah:

1. Arakan Army

2. Myanmar National Democratic Alliance Army

3. Kachin Indipendence Army

4. Ta’ang National Liberation Army

“Dalam usaha mencegah dan mengelak kerosakan di luar talian, kita tidak membenarkan organisasi atau individu yang mengisytiharkan misi ganas atau terlibat dalam keganasan untuk berada di Facebook,” kata syarikat itu.

Memetik laporan reuters, sekatan ini hanya menyasarkan segelintir kumpulan pemberontak etnik minoriti di Myanmar yang berjuang untuk mendapatkan autonomi sejak kemerdekaan Myanmar daripada penjajahan Britain pada tahun 1948.

Dalam pada itu, empat kumpulan yang telah diharamkan oleh Facebook itu juga masih belum menandatangani perjanjian gencatan senjata dengan pihak kerajaan dan kerap terlibat dalam pertempuran menentang tentera sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kachin Independence Army dikatakan sebagai salah satu kumpulan pemberontak yang paling kuat dan berkuasa di wilayah di utara Myanmar.

Arakan Army pula juga dilaporkan telah terlibat dalam pertempuran di bahagian barat sejak Disember lepas dan menyebabkan lebih daripada 5,000 penduduk kehilangan tempat tinggal.

Bulan lepas, kumpulan itu melancarkan serangan yang meragut nyawa 13 anggota polis sempadan Myanmar.

“Terdapat bukti yang jelas bahawa organisasi-organisasi ini bertanggungjawab di atas serangan ke atas orang awam dan telah terlibat dalam keganasan di Myanmar, dan kami mahu menghalang mereka daripada menggunakan perkhidmatan kami untuk terus meningkatkan ketegangan,” kata Facebook.

Sementara itu, akaun milik sesetengah kumpulan lain yang berkaitan dengan tentera Myanmar turut dibuang oleh Facebook berikutan keganasan dan penindasan yang dilakukan terhadap etnik minoriti Rohingya.

 

Sumber: Reuters

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button