AntarabangsaIsu Semasa

Selepas Singapura, Trump Dan Kim Akan Bersemuka Di Vietnam Pula

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan mengadakan pertemuan kedua dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un di Vietnam pada 27 dan 28 Februari ini.

Trump mengumumkan perkara itu kepada Kongres ketika menyampaikan ucapan tahunan ‘State of the Union’ (SOTU) baru-baru ini.

“Sebagai sebahagian daripada diplomasi yang baru, kita akan meneruskan perjuangan untuk mencapai keamanan di Semenanjung Korea.

“Tebusan kita telah pulang, ujian nuklear sudah dihentikan, dan tiada sebarang pelancaran peluru berpandu dalam tempoh 15 bulan.

“Sekiranya saya tidak dilantik menjadi Presiden Amerika Syarikat, kita mungkin akan terlibat dalam peperangan besar menentang Korea Utara,” katanya sambil menambah bahawa peperangan itu berpotensi mengorbankan jutaan nyawa.

Trump berkata, beliau kini sedang menjalinkan hubungan yang baik bersama Kim, namun masih banyak perkara yang perlu diselesaikan.

Walaupun Korea Utara tidak lagi melancarkan ujian peluru berpandu atau alat peranti nuklear sejak sidang kemuncak bersejarah pertama Trump dan Kim di Singapura tahun lalu, dan memulangkan semula mayat-mayat rakyat AS yang terbunuh dalam Perang Korea, rundingan rasmi denuklearisasi dilaporkan masih belum mempunyai sebarang perkembangan.

Pengarah Perisikan Kebangsaan AS, Dan Coats mengulangi pandangan ramai penganalisis Korea Utara di Washington yang menyatakan bahawa Pyongyang “akan terus mengekalkan keupayaan senjata pemusnah besar-besaran (WMD) mereka, dan mungkin tidak akan menghentikan keupayaan pengeluaran dan senjata nuklearnya.”

Menurut Coats, perisikan AS telah memerhati “sesetengah aktiviti yang tidak konsisten” dan bercanggah dengan hasrat untuk melakukan denuklearisasi sepenuhnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui bahawa Korea Utara telah menghentikan “tindakan-tindakan provokatifnya.”

Sumber: Reuters

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker