AntarabangsaIsu Semasa

Kotak Android Mempunyai Kelulusan Sirim, Tetapi…

Baru-baru ini, pemain-pemain industri tempatan menegaskan bahawa Malaysia perlu mengikuti cadangan Singapura untuk mengharamkan kotak pengstriman media.

Menurut Ketua Pegawai Pasaran Dimsum, Lam Swee Kim, langkah ini perlu diambil dalam usaha membendung cetak rompak kandungan-kandungan media.

“Ia bukan tentang soal siapa yang akan meraih manfaat daripadanya. Matlamat utama adalah untuk menghentikan cetak rompak.

“Ia bukan kerana kota pengstriman tidak bagus, tetapi kandungan-kandungan di dalamnya adalah tidak sah,” kata beliau.

Lam berkata, terdapat salah faham oleh pengguna yang berfikir bahawa keuntungan yang diraih oleh penjual kotak akan disalurkan kepada pemilik kandungan.

Tambahnya, kos yang dibayar oleh pengguna untuk membeli kotak yang selalunya bernilai beberapa ratus ringgit itu tidak diberi kepada pemilik kandungan atau harta intelek (IP).

Walaupun kotak pengstriman itu sendiri mempunyai kelulusan Sirim, kandungan-kandungan haram yang diberi kepada pengguna tidak dikawal selia.

Jelas Lam, pengguna perlu diberitahu dan memahami mengapa cetak rompak perlu dihentikan supaya industri serta penghasilan kandungan-kandungan yang kreatif dan berkualiti akan dapat terus dikekalkan.

Oleh yang demikian, beliau mencadangkan agar penjualan kotak pengstriman media dikawal selia oleh pihak-pihak yang berkenaan.

Difahamkan, kotak pengstriman ini yang juga dikenali sebagai “kotak pengstriman filem” atau “kotak Android”, dijual secara meluas di pusat membeli belah dan kedai-kedai atas talian.

Pengguna selalunya akan membuat pembayaran sekali sahaja bernilai RM500 untuk kotak tersebut yang mengandungi pelbagai kandungan, termasuk filem dan drama terbaru yang dikemas kini dari semasa ke semasa.

“Mereka menjual kotak ini di mana-mana sahaja secara terbuka. Drama, filem, dan jenama-jenama global juga ada di dalamnya.

“Secara jelas, tiada sebarang kelulusan yang telah diberi ke atas hak cipta (kandungan),” tegas Lam.

Dalam pada itu, beliau memberi amaran bahawa penyedia perkhidmatan haram ini juga berpotensi untuk mengambil data-data peribadi dan pengguna.

Namun, Lam yakin bahawa kerjasama di antara pihak berkuasa, pemain-pemain industri, dan media akan mampu membantu memberi kesedaran kepada pengguna tentang kesan negatif yang boleh dibawa oleh cetak rompak.

Sementara itu, pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Ishsal Ishak menyatakan bahawa penjualan dan pemilikan kotak-kotak yang mempunyai perkhidmatan sedemikian adalah salah di sisi undang-undang Malaysia.

“Terdapat dua cara untuk melihat perkara ini. SKMM sedang melihat aspek-aspek teknikal kotak itu, di mana ia perlu mendapatkan kelulusan Sirim.

“Mengenai kandungannya pula, sekiranya terdapat elemen-elemen pelanggaran hak cipta, ia akan jatuh di bawah Akta Hak Cipta,” katanya.

Ketua Pegwai Eksekutif Astro, Henry Tan pula menyatakan bahawa tindakan Singapura untuk mengambil langkah yang lebih ketat ke atas cetak rompak amat dialu-alukan.

Ujarnya, aktiviti-aktiviti anti-cetak rompak ditambah lagi dengan tindakan penguatkuasaan dan pendidikan pengguna adalah cara yang paling berkesan untuk menangani masalah ini.

Secara purata setiap tahun, beliau mendedahkan bahawa anggaran kerugian ekonomi Malaysia yang disebabkan oleh cetak rompak bernilai RM2.3 bilion, manakala kerugian cukai kerajaan pula adalah RM330 juta.

Seorang jurucakap Iflix juga berkata, syarikatnya mengalu-alukan sebarang usaha yang bertujuan untuk membendung cetak rompak, sambil menyatakan bahawa langkah tersebut akan membantu memupuk industri kreatif.

 

“Langkah-langkah ini akan memajukan industri dan ekosistem yang memupuk kreativiti dan inovasi, mewujudkan pekerjaan dalam bidang kreatif, serta menyediakan platform undang-undang untuk pencipta kandungan, penerbit, dan penghibur untuk mempamerkan bakat mereka,” kata jurucakap itu.

 

 

 

Sumber: The Star

Show More

Related Articles

Back to top button