AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Belia Thailand Mahu ‘Tamatkan’ Pemerintahan Tentera

Selepas berkali-kali ditangguhkan, Thailand akhirnya akan mengadakan pilihan raya umum pertamanya pada 24 Mac ini sejak tentera mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada tahun 2014 selepas menggulingkan pentadbiran sebelumnya.

Pihak tentera yang juga dikenali sebagai National Council for Peace and Order (NCPO) sebelum ini berikrar untuk memulihkan keadaan negara dan mengembalikannya kepada pemerintahan demokratik dalam tempoh dua tahun.

Walau bagaimanapun, janji tersebut tidak dikotakan dengan baik dan mereka masih lagi memerintah Thailand sehingga ke hari ini.

Hal ini telah mencetuskan kemarahan rakyat yang semakin hilang sabar dan pelbagai demonstrasi telah diadakan bagi meluahkan bantahan terhadap kepimpinan tentera.

Kebanyakan demonstrasi dilaksanakan oleh pelbagai pihak, termasuk aktivis-aktivis muda dalam kalangan pelajar universiti.

“Tentera sepatutnya melindungi negara, bukan menentang rakyat. Kita mahukan pilihan raya,” kata Parit Chiwarak, seorang aktivis berusia 20 tahun yang mengetuai protes mendesak pengakhiran pemerintahan tentera.

Dalam pada itu, golongan muda akan menjadi penentu besar dalam pilihan raya kali ini.

Difahamkan, terdapat kira-kira 50 juta pengundi di negara itu, dan pengundi berusia 18 sehingga 35 tahun membentuk lebih daripada suku.

7 juta orang daripada jumlah itu pula adalah pengundi kali pertama.

Walaupun masih tidak jelas pihak mana yang akan diundi oleh belia, ramai yang mengatakan bahawa mereka tidak menyokong parti-parti tentera yang akan bertanding nanti.

Sebelum ini negara dipimpin oleh tentera, belia-belia Thai dilihat tidak berminat dengan politik susulan perselisihan yang tiada penghujung di antara puak Baju Merah (pro-bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra) dan Baju Kuning, yang merupakan puak pro-tentera.

Namun, pemerintahan tentera selama hampir lima tahun ini dilihat telah mengubah golongan muda, di mana mereka kini mahu sertai proses politik secara aktif demi membawa perubahan.

“Belia pada hari ini tidak seperti sebelumnya. Kita semakin aktif berpolitik, dan kita adalah sebahagian besar pengundi.

“Ini adalah pilihan raya yang amat penting untuk kita. Ia bukan sekadar tentang pertukaran ahli politik, tetapi ia adalah testimoni sama ada kita menerima pemerintahan diktator, detik hidup dan mati untuk masa depan kita,” kata Netiwit Chotiphatphaisal, seorang aktivis pelajar.

Berdasarkan sebuah tinjauan pendapat yang dilakukan oleh King Prajadhipok’s Institute, lebih daripada 90% responden pengundi muda berusia 18 sehingga 24 tahun berkata bahawa mereka akan keluar mengundi dalam pilihan raya kali ini.

“Golongan muda mencipta gelombang baru dan kesedaran politik mereka juga bertambah,” kata Anusorn Unno, seorang pensyarah di Thammasat University.

Sumber: Reuters

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker