Isu SemasaTempatan

Lebih 5.7 Juta Saman Trafik Dikeluarkan Pada Tahun Lepas, Tetapi…

Baru-baru ini, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias mendedahkan bahawa polis trafik telah mengeluarkan 5,723,176 saman pada tahun lepas.

Walau bagaimanapun, hanya suku atau 25% daripada jumlah itu telah dibayar oleh pesalah.

“Daripada jumlah itu, hanya 25% saman tersebut telah dilangsaikan.

“Secara purata, kita mengeluarkan lima juta saman setiap tahun dan hanya 30% daripadanya dilangsaikan,” kata beliau.

Sehubungan dengan itu, masih terdapat kira-kira 30 juta saman yang masih belum dilangsaikan sejak 10 tahun lalu.

Azisman berkata, beliau turut menyedari akan cadangan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke untuk berhenti memberi diskaun kepada mereka yang melakukan kesalahan trafik.

“Secara peribadi, saya rasa ia akan menjadi pencegah yang baik kepada penunggang motosikal.

“Tetapi daripada perspektif JSPT, sekiranya kami tidak menawarkan diskaun, tidak ramai orang akan tampil untuk melangsaikan saman-saman mereka,” jelasnya sambil menambah bahawa situasi ini akan turut menjejaskan hasil kerajaan.

Ujar beliau, pihak polis tidak akan berkompromi dengan penunggang motosikal yang melakukan enam kesalahan trafik utama termasuk menunggang dengan laju, melanggar lampu merah, serta menggunakan telefon bimbit ketika membawa motosikal.

“Mereka perlu membayar amaun penuh jika mereka melakukan kesalahan-kesalahan tersebut.

“Saya bercadang untuk bertemu dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Menteri Pengangkutan serta pegawai-pegawainya bagi membincangkan perkara ini secara mendalam dan tampil dengan penyelesaian yang lebih baik,” kata beliau.

Tambah Azisman lagi, jabatannya sebelum ini pernah melancarkan Ops Warta untuk memberi notis kepada pesalah agar hadir di mahkamah sekiranya mereka gagal melangsaikan saman.

“(Tetapi), terdapat banyak bantahan ke terhadap operasi itu,” ujarnya.

Sementara itu, Azisman menyatakan bahawa jumlah kemalangan telah menurun daripada 6,265 pada 2017 kepada 5,870 pada tahun lepas.

Jumlah kemalangan serius turut mencatatkan penurunan daripada 2,468 kes pada 2017 kepada 2,242 kes pada 2018.

“Namun, jumlah kemalangan secara keseluruhan menyaksikan peningkatan daripada 533,875 kes pada 2017 kepada 548,598 kes pada tahun lalu,” katanya.

Tegas beliau, penunggang motosikal kekal sebagai ‘penyumbang terbesar’ kepada kes-kes kemalangan maut.

Daripada 6,284 kemalangan maut pada tahun lepas, 65.7% atau 4,128 kematian adalah penunggang motosikal.

Sumber: The Star

Show More

Related Articles

Back to top button