Sukan

Linangan Air Mata Buat Sala Semasa Perlawanan Pagi Tadi

Nantes memberikan penghormatan penuh emosi terhadap Emiliano Sala di Stade de la Beaujoire, awal pagi tadi sebelum perlawanan pertama sejak bekas penyerangnya itu tidak ditemui dalam insiden kehilangan pesawat di Kepulauan Channel, minggu lalu.

Nantes yang merupakan kelab Ligue 1 Perancis adalah kelab bola sepak terakhir Emiliano Sala, sebelum beliau menandatangani perjanjian bersama Cardiff City dengan jumlah 17 juta euro (RM80.06 juta).

Sala tidak sempat turun beraksi buat Bluebirds kerana pesawat ringan yang membawa pemain Argentina dan juruterbang David Ibbotson terputus hubungan ketika dalam perjalanan ke ibu negara Wales pada 21 Januari lalu, dua hari selepas melengkapkan rekod perpindahan tersebut.

Pada perlawanan pagi tadi, Nantes meletakkan gambar Sala di tengah bulatan sepak mula sebelum aksi Ligue 1 menentang Saint-Etienne manakala bekas rakan sepasukannya memakai baju T yang bertulis “kami sayangkan kamu Emi.”

Sumber Imej: skysports.com
Sumber Imej: rediff.com

Peminat turut memaparkan kain rentang sebagai sokongan terhadap Sala dan mengibarkan bendera Argentina di tempat duduk penyokong dengan segelintir peminat mengesat air mata selepas seminit senyap diberikan diikuti dengan tepukan serta jeritan namanya.

Semua pemain Nantes turut bermain dengan jersi memaparkan nama Sala.

Bekas penyerang Nantes, Yacine Bammou yang sebelum ini teman rapat Sala sebelum berhijrah ke Caen menangis di tempat duduk penonton manakala pengurus, Vahid Halilhodzic juga gagal membendung emosinya.

Sala menjaringkan 42 gol dalam 120 penampilannya untuk Nantes dan sempat melawat bekas sepasukan di Nantes pada 21 Januari lalu untuk mengucapkan selamat tinggal sebelum menuju ke ibu negara Wales menggunakan pesawat ringan enjin tunggal Piper PA-46 Malibu.

Objek terapung dijumpai di kepulauan Channel dan polis British island of Guernsey, yang bertempat di persisiran utara Perancis menyatakan peluang untuk penumpang selamat adalah “tipis”.

Sumber Imej: BBC.com
Gambar kusyen yang dipercayai daripada pesawat yang dinaiki Sala. Sumber Imej: mirror.co.uk

Sala Merancang Perjalanannya Ke Wales Sendiri

Kelab itu memberitahu Wales Online yang mereka sudah menawarkan kepada penyerang baru mereka itu untuk menggunakan pesawat komersial ke Cardiff.

“Kami sudah bercakap dengan pemain itu dan bertanya kepadanya jika dia mahu kami menguruskan perjalanan penerbangannya yang mana kemungkinan adalah penerbangan komersial,” kata Pengerusi Cardiff, Mehmet Dalman.

“Beliau menolaknya dan mengurus sendiri perjalanannya.

“Saya tak boleh beritahu anda siapa yang uruskan penerbangannya kerana sehingga sekarang saya masih tak tahu – tetapi ia pastinya bukanlah Cardiff City.”

 

Misi Pencarian Tamat Tetapi Pencarian Dasar Laut Bakal Dilakukan

Misi pencarian secara rasmi oleh pihak berkuasa ditamatkan pada Khamis lalu tetapi Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara Britain berkata mereka akan memulakan pencarian di dasar laut pada minggu ini bersama dengan penyiasat persendirian.

Ratusan peminat Nantes memasang lilin di ibu negara Perancis, minggu lalu selepas pencarian pertama gagal menemui pemain berkenaan.

“Saya tidak meletakkan begitu banyak harapan. Kini kita perlu berduka dan kemudian bergerak ke depan,” kata seorang penyokong Nantes, Andree Guittet, 69.

 

Pemain Cardiff “Trauma” Naik Pesawat

Dalam pada itu, Cardiff kembali beraksi buat kali pertama sejak kehilangan Sala, awal pagi tadi ketika tewas 1-2 di Arsenal.

“Ia satu keadaan yang amat luar biasa, satu tragedi besar,” kata pertahanan Ivory Coast itu kepada BBC Sport Wales. “Kami semua terkesan dengannya (tragedi), pemain, bandar ini dan seluruh kelab.

“Kami mengharungi perjalanan dengan pesawat dan beberapa pemain berfikir, ‘Saya tidak mahu pergi lagi.’ Ia begitu meninggalkan kesan.”

Sala berkunjung ke Cardiff untuk menandatangani perjanjian itu sebelum kembali ke Nantes bagi mengambil barangannya dan mengucapkan selamat tinggal kepada bekas rakan sepasukan.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker