Gaya HidupKesihatan

Ini Sebabnya Kenapa Wanita Berusia 26 Tahun Ke Atas Perlu Menjalani Ujian Pap Smear

Pap smear juga dikenali sebagai ujian papanicolaou. Ujian ini dilakukan dengan mengambil sedikit tisu dari pangkal serviks kemudian, tisu itu dihantar ke makmal untuk mengesan tisu-tisu yang abnormal dan berpotensi untuk menjadi kanser.

Biasanya sel serviks tidak berubah menjadi sel kanser dalam masa semalaman. Sel yang normal akan mengalami beberapa perubahan dalam jangka masa tertentu sebelum menjadi sel kanser.

Pap smear boleh mengesan perubahan pada sel di peringkat awal sebelum ia berubah menjadi sel kanser. Masa yang diambil bagi sel normal untuk menjadi sel kanser adalah di antara 2 hingga 10 tahun.

Jadi, sekiranya pap smear dilakukan setiap 3 tahun, peluang untuk mengesan sel-sel yang berpotensi menjadi sel kanser adalah cerah sebelum ia menjadi kanser serviks. Rawatan di peringkat awal mempunyai peluang yang cerah untuk sembuh.

 

Bila Waktu Yang Sesuai?

Anda patut melakukan ujian pap smear setelah anda mula mengamalkan seks atau mencapai umur 26 tahun sehinggalah anda berusia 70 tahun.

Wanita yang telah menjalani histerektomi (membuang rahim dan serviks) tidak perlu lagi melakukan pap smear melainkan sebab pembuangan rahim adalah sebagai rawatan pra kanser.

Wanita yang telah menjalani histerektomi subtotal (membuang uterus tanpa membuang serviks) masih perlu melakukan pap smear secara berkala.

 

Apa Yang Saya Perlu Lakukan Sebelum Menjalani Ujian Pap Smear?

Ujian pap smear tidak boleh dijalankan semasa haid kerana sel yang diambil pada waktu ini biasanya tidak memadai dan kehadiran darah haid juga akan menyukarkan penilaian ke atas sampel yang diperolehi.

Anda dinasihatkan menjalani pap smear pada hari ke-7 hingga hari ke-10 kitaran haid (hari pertama datang haid adalah hari 1).

Anda perlu mengelak dari melakukan perkara-perkara berikut sebelum ujian :

1. Melakukan seks

2. Menyembur kawasan vagina

3. Menggunakan tampon

4. Menggunakan krim vagina

 

Apa Yang Dilakukan Semasa Ujian Pap Smear?

1. Anda akan diminta untuk berbaring di atas katil dengan lutut dinaikkan dan dibengkokkan.

2. Spekulum (muncung itik), sepanjang 4 inci, akan dimasukkan ke dalam vagina untuk membolehkan ia terbuka. 

3. Dengan pandangan selari, doktor akan memasukkan spatula kayu, untuk mengambil sampel sel dari servik.

4. Sampel tersebut kemudiannya disebarkan di atas slaid kaca dan di sembur dengan alkohol. Seterusnya, ia dihantar ke makmal untuk diperiksa oleh ahli patologi.

Anda akan berasa sedikit tidak selesa walau bagaimanapun, keseluruhan prosedur ini tidak menyakitkan.

Apakah Kelebihan Lain Pap Smear?

Semasa prosedur pap smear, doktor juga boleh mengesan polip dan jangkitan-jangkitan lain.

Berapa Lama Keputusan Akan Diketahui?

Anda boleh mendapatkan keputusan anda dalam masa seminggu. Sekiranya keputusan anda abnormal, jururawat akan menghubungi anda dan meminta anda untuk datang semula untuk membuat ujian ulangan serta berunding dengan doktor.

Walaubagaimanapun, keputusan yang abnormal tidak bererti anda menghidap kanser serviks sebaliknya, ia bererti anda memerlukan pemeriksaan lanjut.

Keputusan abnormal boleh disebabkan oleh faktor-faktor di bawah:

1. Radang serviks yang disebabkan oleh monilia, papillomavirus, trichomonas, herpes virus dan jangkitan bakteria.

2. Cervical dysplasia di mana sel serviks di persimpangan squamous calamus menunjukkan perubahan abnormal yang berpotensi untuk menjadi sel kanser.

Sekiranya sel serviks telah menjadi sel kanser tetapi bilangannya tidak melepasi paras terendah, ia dipanggil carcinoma in situ. Laporan pap smear akan dilabel sebagai Class I, II, III, IV and V. Sila rujuk jadual di bawah.

Siapa Yang Berisiko Mendapatkan Kanser Serviks?

Wanita yang dijangkiti Human Papillomavirus dibahagian serviks mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat kanser serviks.

Human Papillomavirus biasanya menjangkiti mereka yang melakukan seks rambang kerana ia adalah sejenis penyakit bawaan seks.

Kanser serviks juga kerap terjadi dikalangan wanita yang merokok.

Di Mana Saya Boleh Menjalani Ujian Pap Smear?

Anda boleh menjalani pap smear di klinik sakit puan, pusat bersalin atau mana-mana klinik pengamal perubatan yang menawarkan ujian pap smear.

 

Untuk maklumat lanjut, anda boleh hubungi Dr. Khairul Izan Md Ghani di laman Facebooknya, Get Well By Doc K. 

 

* Dr Khairul Izan Md Ghani merupakan Pakar Bedah yang berpengalaman dalam bidang perubatan lebih daripada 13 tahun dan menjadi Pakar Bedah untuk lebih daripada 10 tahun. Beliau yang pernah berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Putrajaya, Hospital Ampang dan Pusat Perubatan UKM ini juga merupakan mantan pensyarah perubatan, penulis dan konsultant di beberapa institusi di Kuala Lumpur. Pengalaman yang luas ini juga menyebabkan beliau sering dijemput untuk memberi ucaptama dalam seminar dan acara di dalam dan luar negara.
Kini beliau berkhidmat di Hospital Colombia Asia Petaling Jaya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker