Isu SemasaTempatan

Teka-Teki Projek ECRL: Batal Atau Tidak?

Tiada keputusan muktamad yang telah dibuat berkaitan dengan Rel Keretapi Pantai Timur (ECRL) kerana proses rundingan masih berlangsung, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata beberapa keputusan telah dibuat tetapi kerajaan sedang mencari penyelesaian yang lebih baik.

“Kami masih berunding. Kami merasakan bahawa kita harus memberi masa kepada kedua-dua pihak (Malaysia dan China) untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Mungkin ada pilihan lain dan kami terbuka untuk sebarang perubahan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

“Ia bukan kerana kami tidak mahu menghormati kontrak atau kami hanya mahu menggagalkan atau membuang kontrak. Ini kerana kami sangat terbatas dari segi kewangan. Kami tidak boleh bayar.

“Kontrak ini boleh menelan belanja lebih daripada RM100 bilion. Ia akan memudaratkan kita. Oleh itu, kita mencari pemahaman pihak-pihak berkenaan,” katanya selepas melancarkan Pelan Anti Rasuah Kebangsaan.

Telah dilaporkan bahawa kerajaan sedang mencari kontraktor baru selepas menamatkan kontrak yang diberikan kepada China Communications Construction Company Ltd untuk membina rel mega bernilai RM81bilion berkenaan.

Ditanya sama ada Malaysia perlu membayar sejumlah besar pampasan sekiranya projek itu dibatalkan, Dr Mahathir berkata kos untuk meneruskan projek ECRL akan lebih mahal.

“Pampasan yang besar itu tidak sebesar hutang yang akan kita tanggung selama 30 tahun akan datang,” katanya.

Apabila ditanya mengenai isu kenyataan bertentangan oleh menteri-menterinya mengenai status projek ECRL, Perdana Menteri mengakui ada kesilapan yang dibuat tetapi ia akan diperbetulkan dengan sewajarnya.

“Kadang-kadang sesetengah menteri membuat pengumuman sebelum masanya. Saya mengakui beberapa kesilapan telah dibuat tetapi akan membetulkannya,”katanya.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali berkata Kabinet memutuskan untuk membatalkan projek itu kerana negara tidak mampu membayar faedah tahunan RM500 juta kepada projek itu, yang mana Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata beliau terkejut dengan kenyataan itu dan berkata bahawa kenyataan Azmin bukanlah arahan Perdana Menteri.

Lim juga berkata pengumuman rasmi mengenai ECRL akan dibuat dalam satu kenyataan bertulis dan dikeluarkan minggu ini.

Tetapi pada sidang akhbar selepas melancarkan Tabung untuk Rumah Mampu Milik dan portal Rumahku di Bank Negara Malaysia semalam, Lim berkata beliau telah dinasihatkan oleh Dr Mahathir agar tidak membuat apa-apa pengumuman mengenai projek buat masa ini.

“Saya telah bertemu dengan Perdana Menteri dan beliau telah mencadangkan saya tidak membuat sebarang kenyataan buat masa ini. Jadi, tunggu kenyataan rasmi seterusnya,” katanya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button