AntarabangsaIsu Semasa

Selepas Gereja, Masjid Turut Jadi Mangsa Serangan Bom

Tidak sampai seminggu insiden serangan bom serentak di gereja Roman Katolik di kepulauan Jolo, berlaku pula  serangan bom sebuah masjid di bandar Zamboanga, selatan Filipina pada pagi Rabu.

Dalam serangan terbaru itu, dua orang telah terkorban manakala empat mangsa lain tercedera.

Menurut jurucakap polis Zamboanga, Inspektor Shellamae Chang, mangsa-mangsa yang terkorban dikenali sebagai Habil Rex, 46, dan Haj Sattal Bato, 47, yang merupakan pendakwah Islam atau “Tabligh”.

Memetik laporan media antarabangsa, serangan itu berlaku apabila seorang penyerang yang masih belum dikenal pasti  memadam lampu jalan berdekatan lokasi kejadian dan kemudian membaling bom tangan ke arah masjid Kamahaldikaan daerah Talon, Zamboanga.

Seorang anggota penyiasat berkata, bom tangan yang digunakan oleh penyerang adalah buatan Belgium.

Dalam satu kenyataan, Majlis Ulama Semenanjung Zamboanga menyifatkan serangan itu sebagai “kejam, tidak rasional, dan tidak berperikemanusiaan.”

Sementara itu, Presiden Rodrigo Duterte menerusi jurucakapnya, Salvador Panelo, turut mengeluarkan kenyataan berhubung insiden itu.

“Keganasan sekali lagi berlaku dengan buruk dan kejam. Serangan-serangan di dua tempat ibadah itu menggambarkan kekejaman dan ketidakpercayaan pembunuh-pembunuh tersebut kepada tuhan,” katanya.

Setiausaha Pertahanan, Delfin Lorenzana berkata, ada kemungkinan bahawa kumpulan militan IS adalah dalang disebalik serangan masjid berkenaan.

Difahamkan, IS telah mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan ke atas gereja pada Ahad.

“IS mungkin mahu mencetuskan perang agama ke tahap yang lebih tinggi. Tetapi penganut Katolik, Kristian, dan juga Muslim arus perdana tidak akan terpedaya dengannya,” ujar Lorenzana.

Namun setakat ini, beliau menyatakan bahawa masih tiada petanda yang menunjukkan pembabitan IS.

Sumber: Straits Times

Show More

Related Articles

Back to top button