AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Belia Adalah Penentu Utama Pilihan Raya Indonesia, Tetapi…

Hampir separuh daripada jumlah keseluruhan pengundi di Indonesia adalah golongan belia, dan mereka kini menjadi “kumpulan sasaran utama” setiap parti yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Presiden 2019 (Pilpres 2019).

Tetapi, kekurangan minat generasi muda dalam politik serta kadar keluar mengundi yang semakin berkurangan, menimbulkan persoalan sama ada calon-calon dan parti politik akan mampu menarik mereka untuk melaksanakan tanggungjawab di pilihan raya pada bulan April nanti atau tidak.

Pada debat presiden awal bulan ini juga, ahli-ahli politik daripada kem Presiden Joko Widodo (Jokowi) dan Pengerusi Parti Gerindra, Prabowo Subianto telah berulangkali menyeru belia untuk keluar mengundi.

Rakan sepasukan Prabowo yang pernah menjadi timbalan gabenor Jakarta, Sandiaga Uno juga amat aktif menghadiri acara-acara yang membabitkan anak muda untuk menggalakkan mereka mengambil bahagian dalam proses politik.

“Millenial perlu menjadi pemain, bukan pemerhati,” kata Sandiaga di Sidang Kemuncak Milenial Indonesia 2019 baru-baru ini.

Di pihak Jokowi pula, ahli-ahli politik muda yang mesra millenial seperti Gabenor Jawa Barat, Ridwan Kamil dan pengerusi Parti Pembangunan Bersatu (PPP) Romahurmuziy juga tidak ketinggalan dalam usaha menggesa generasi muda untuk membuang undi pada hari pilihan raya.

“Jangan halang diri anda (daripada menyertai proses politik). Seperti yang telah saya katakan sebelum ini, membuat pilihan yang salah akan membawa kepada penyesalan selama lima tahun,” kata Ridzwan di sidang kemuncak yang sama.

Walaupun berbeza ideologi dan pendirian politik, Romahurmuziy menyokong kenyataan Ridwan, dengan menyatakan bahawa pasukan kempen Jokowi sasar untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 45% undian millenial.

“Sebagai sebahagian daripada pasukan kempen (Jokowi) dan parti politik sokongan, kita akan terus mendekati millenial, supaya mereka tidak terkecuali daripada politik,” ujar beliau.

Walau bagaimanapun, usaha memujuk anak muda untuk mengundi adalah satu perjuangan yang sukar di Indonesia.

Kadar individu tidak keluar mengundi menyaksikan peningkatan sejak pilihan raya tahun 1999, di mana hampir 30% pengudi berdaftar tidak menunaikan tanggungjawab merea pada pilihan raya 2014, dan majoriti daripada jumlah itu adalah belia.

Sebuah kajian yang dilakukan oleh Pusat Pengajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) pada 2017 tentang pendirian politik millenial mendapati bahawa golongan muda tidak mempunyai minat yang tinggi dalam politik.

Malah, belia lebih mengutamakan isu-isu penting lain yang berkaitan dengan diri mereka seperti pekerjaan.

Berdasarkan satu lagi kajian terbaru pula, hanya 23.4% daripada 1,400 responden belia yang mengikuti perkembangan politik atau mengambil tahu tentang isu-isu politik.

“Bagi (millenial), berita politik di Indonesia agak ‘berat’, rumit dan membosankan,” kata laporan kajian yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan IDN dan Pusat Penyelidikan Alvara.

Ketua Pegawai Eksekutif Alvara, Hasanuddin Ali menyatakan bahawa walaupun belia membentuk sebahagian besar daripada jumlah keseluruhan pengundi berdaftar, beliau mempunyai keraguan sama ada ramai yang akan keluar mengundi atau tidak untuk memberi impak signifikan terhadap keputusan Pilpres 2019.

“Dalam tinjauan pendapat yang telah kami lakukan sejak pengumuman calon-calon presiden, millenial membentuk bahagian terbesar pengundi atas pagar,” jelas Hasanuddin.

Tambah beliau lagi, memandangkan golongan muda kini amat aktif di media sosial, adalah amat penting bagi ahli-ahli politik untuk tidak melakukan perkara-perkara yang salah.

Hasanuddin berkata, kedua-dua kem Jokowi dan Prabowo mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing dalam usaha mereka menarik perhatian belia.

“Pada masa kini, kebanyakan orang muda berimpian untuk menjadi usahawan berjaya, jadi Sandiaga mempunyai kelebihan di situ.

“Sementara itu, Jokowi cuba untuk mendekati mereka dengan menghadiri acara-acara muzik, memakai kasut (sneakers) dan T-shirt, serta menunjukkan tiada jarak di antara mereka dan presiden,” katanya.

Sementara itu, terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa 71% anak muda di seluruh dunia menganggap pemimpin-pemimpin politik memberi impak buruk kepada dunia.

Jadi, adakah Pilpres 2019 nanti akan menyaksikan penglibatan ramai anak muda? Jika ya, ia membuktikan keberkesanan kempen-kempen yang telah dilaksanakan oleh ahli politik Indonesia.

Tetapi jika tidak, ahli politik perlu berusaha lebih keras, mencari jalan lain, dan benar-benar memahami apa yang diperlukan oleh golongan belia.

Sumber: Jakarta Post

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button