AntarabangsaIsu Semasa

Thailand Tidak Benarkan Syarikat Asing Dominasi Pasaran Daun ‘G’

Pada Isnin, 28 Januari 2019, Thailand telah menarik semula semua permintaan paten penggunaan ganja atau marijuana oleh pihak asing.

Langkah tersebut diambil susulan kebimbangan bahawa syarikat-syarikat luar akan mendominasi pasaran ganja yang baru dibuka pada bulan lepas selepas kerajaan meluluskan penggunaan dadah itu bagi tujuan perubatan dan penyelidikan.

Paten merujuk kepada satu hak eksklusif yang dianugerahkan bagi sesuatu rekacipta, sama ada ia adalah satu produk atau satu proses untuk melakukan sesuatu yang baru atau penyelesaian teknikal ke atas sesuatu masalah.

Pada Disember lalu, parlimen pimpinan tentera telah sebulat suara bersetuju untuk meminda Akta Narkotik 1979 sambil menyifatkan keputusan itu sebagai “Hadiah Tahun Baru kepada rakyat Thai.”

Walaupun beberapa negara di dunia termasuk Kolumbia dan Kanada telah menghalalkan penggunaan ganja untuk perubatan atau rekreasi, dadah tersebut masih haram di kebanyakan negara Asia Tenggara.

Di negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Singapura dan Indonesia, pengedar dadah boleh dikenakan hukuman mati jika disabitkan bersalah.

Namun di Thailand, kontroversi utama berhubung penghalalan ganja di sisi undang-undang membabitkan permohonan paten oleh dua syarikat asing iaitu:

1. GW Pharmaceuticals (Britain)

2. Otsuka Pharmaceutical (Jepun)

Sekiranya didominasi oleh pihak asing, kumpulan-kumpulan masyarakat sivil dan penyelidik Thai bimbang ia akan menyukarkan rakyat tempatan untuk mendapat akses terhadap ubat-ubatan berasaskan ganja.

Bukan itu sahaja, malah penyelidik juga dikataan akan berdepan kesukaran untuk mendapatkan ekstrak bahan berkenaan.

Oleh yang demikian, kerajaan tentera telah mengeluarkan perintah eksekutif khas yang membolehkan Jabatan Harta Intelek untuk menarik semua paten yang membabitkan ganja yang masih belum diluluskan dalam tempoh 90 hari.

“Permohonan paten yang masih belum diluluskan itu adalah tidak sah. Perintah NCPO (tentera) ini akan memanfaatkan rakyat Thai di seluruh negara kerana ia membendung kontrak monopoli,” kata ahli parlimen, Somchai Sawangkarn.

NPCO merupakan nama rasmi tentera iaitu National Council for Peace and Order.

Walau bagaimanapun, undang-undang yang menghalalkan penggunaan ganja ini belum lagi dikuatkuasakan, memandangkan sebarang undang-undang di Thailand perlu mendapatkan kelulusan Maharaja terlebih dahulu.

Sumber: NST – Reuters

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker