Bisnes & EkonomiIsu SemasaTempatan

KPKT Rancang Rumah Mampu Milik Bermula RM90K, Berkeluasan 900 Kaki Persegi

Kerajaan akan merangka Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (DRMM) yang pertama seumpamanya dalam usaha mewujudkan rumah mampu milik yang kondusif kepada kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Menerusi dasar ini, sebuah Majlis Perumahan Mampu Milik Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri telah ditubuhkan dan sudah bermesyuarat pada 8 Januari lalu bersama Menteri Besar, Ketua Menteri dan Exco Perumahan negeri yang bakal memperkenalkan satu lagi aspek pembinaan ruman mampu milik menggunakan tanah wakaf. 

Rumah Mampu Milik Berkeluasan 900 kaki persegi

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata DRMM yang menjadi sub kepada Dasar Perumahan Negara (DRN) 2018-2025) itu, akan menggariskan spesifikasi dan panduan kepada pemaju untuk pembangunan rumah mampu milik.

Katanya, antara intipati DRMM adalah menetapkan keluasan minimum rumah mampu milik di negara ini pada 900 kaki persegi.

Selain itu, katanya, harga rumah mampu milik, sama ada dibina kerajaan, kerajaan negeri atau pemaju swasta, ditetapkan pada RM90,000 hingga RM300,000, bergantung pada lokasi dan purata pendapatan masyarakat setempat.

Akta Sewaan Kediaman Bagi Melindungi Kepentingan Pemilik Rumah dan Penyewa Akan Digubal

DRN yang dilancarkan menggariskan lima fokus, 16 strategi dan 57 pelan tindakan sebagai panduan pembinaan rumah yang sistematik serta mengambil kira isu semasa bagi pembangunan perumahan di peringkat persekutuan, negeri dan swasta.

Antara pembaharuan dalam DRN adalah :-

1. Meletakkan Perbadanan PRIMA Malaysia, Program Perumahan Penjawat Malaysia (PPAM) dan Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

2. Semua projek baharu perumahan awam dan swasta akan diwajibkan untuk mendapatkan Sijil Penilaian Kualiti Dalam Pembinaan Bangunan (QLASSIC), selain memastikan peralihan sistem Jual-Kemudian-Bina (JKB) kepada Bina-Kemudian-Jual (BKJ).

3. Akta Sewaan Kediaman juga akan digubal bagi melindungi kepentingan pemilik rumah dan penyewa, selain turut mengatasi isu diskriminasi penyewa serta bakal menyentuh mengenai kuota perumahan Bumiputera.

1 Juta Rumah Mampu Milik Dalam Tempoh 10 Tahun

Menurut YB Zuraida, kerajaan mensasarkan 1 juta rumah mampu milik untuk kumpulan B40 dalam tempoh 10 tahun akan datang dengan sasaran pembinaan 10,000 unit rumah transit iaitu seluas 500 kaki persegi, khusus untuk membantu golongan muda yang belum berkahwin terutamanya di bandar-bandar utama di negara ini sehingga mereka mampu membeli rumah sendiri.

Mengulas komitmen kerajaan membina satu juta rumah dalam 10 tahun, Zuraida berkata, pihaknya yakin dapat membina 100,000 rumah setiap tahun, dengan 61,000 rumah dibina kerajaan, selebihnya kerajaan negeri dan swasta.

Rumah Mampu Milik Hanya Boleh Dijual Semula Kepada KPKT

Walau bagaimanapun, YB Zuraida mengingatkan kepada sesiapa yang layak memiliki rumah mampu milik ini untuk tidak menyalahgunakan pembelian mereka itu untuk tujuan mengaut keuntungan.

Menurut Zuraida, selain penetapan komitmen lima tahun, rumah mampu milik juga hanya boleh dijual semula kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Rumah mampu milik yang dibina kerajaan hanya boleh dijual kepada KPKT dan tidak boleh dijual secara sesuka hati. Harga jualan akan mengikut harga pasaran semasa,” katanya.

Bantuan Membeli Rumah Mampu Milik Untuk Golongan Berpendapatan RM2,300 Ke Bawah

Bagi yang memerlukan bantuan kewangan untuk membeli rumah mampu milik ini, kerajaan telah melancarkan Dana Rumah Mampu Milik dan Portal Rumahku oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dengan dana RM1 bilion untuk membantu golongan berpendapatan RM2,300 ke bawah sebulan memiliki rumah buat kali pertama yang berharga sehingga RM150,000.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, “Dana ini disedia di AmBank, CIMB Bank, Maybank, RHB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN) melalui kadar pembiayaan serendah 3.5 peratus dan ia disediakan untuk dua tahun atau sehingga peruntukan dihabiskan,” katanya.

Bantuan Untuk Pendapatan Isi Rumah Bulanan RM5,000

BNM dengan kerjasama institusi kewangan juga turut memperkenalkan pelbagai langkah untuk membantu pembeli rumah dengan pendapatan bulanan RM5,000 dan ke bawah untuk membeli rumah pertama berharga sehingga RM300,000.

Tambah lagi, pengecualian penuh duti setem bagi pembelian rumah pertama akan mengurangkan kos yang ditanggung oleh pembeli rumah sekitar dua petarus daripada jumlah keseluruhan kos pembelian rumah sehingga 2020.

Katanya, kerajaan telah memberi pengecualian duti setem sehingga RM300,000 yang pertama ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi tempoh dua tahun sehingga Disember 2020.

“Bagi pembeli rumah pertama dengan pendapatan isi rumah sehingga RM5,000, kerajaan memperuntukkan RM25 juta kepada Cagamas Bhd untuk menyediakan jaminan gadai janji bagi membolehkan peminjam mendapat pembiayaan yang lebih tinggi termasuk bayaran deposit melalui Skim Rumah Pertamaku oleh Cagamas.

“Langkah ini dijangka memberi penjimatan kos antara tujuh peratus sehingga 11 peratus kepada pembeli selain apa-apa potongan diskaun yang ditawarkan pemaju,” katanya.

“M40 belum terdesak sangat lagi, jadi kita buat untuk B40 dahulu”

Ditanya kesediaan kerajaan turut membantu golongan berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40) memiliki rumah memandangkan mereka terbeban dengan cukai, Zuraida berkata perancangan ketika ini terarah kepada B40.

“M40 belum terdesak sangat lagi, jadi kita buat untuk B40 dahulu,” katanya.

Ekspo Bukan Mac Bagi Yang Berminat Untuk Membeli Rumah Pada Harga Diskaun

Bagi yang berminat untuk membeli rumah pada kadar yang berpatutan dan diskaun, sebuah ekspo perumahan bakal di adakan pada 1-3 Mac ini bagi menawarkan 22,000 unit rumah dengan jumlah nilai aset sekitar RM22.5 bilion yang melibatkan 180 pemaju perumahan.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker