Gaya HidupKesihatan

Bahaya Menolak Vaksin Terhadap Kesihatan

Informasi yang salah mengenai vaksin telah menyebabkan peningkatan besar dalam penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin, dengan hampir 1,000% peningkatan dalam kes campak berbanding lima tahun lalu.

Kementerian Kesihatan berkata, peningkatan penyakit-penyakit berjangkit yang dapat dicegah melalui pemvaksinan di negara ini adalah disebabkan oleh maklumat yang salah mengenai vaksin yang tersebar di media sosial.

Menurut Kementerian Kesihatan, jumlah kes campak melonjak dari 195 kes pada tahun 2013 kepada 1,934 kes tahun lepas.

Menurut laporan The Star, terdapat enam kematian yang berkaitan dengan campak dan kesemua mangsa tidak diimunisasi pada tahun lepas.

Terdapat lima kematian berpunca dari difteria di mana empat daripada mangsa tidak menerima imunisasi.

Selain itu, terdapat juga 22 kematian akibat batuk kokol (pertusis) di mana 19 mangsa tidak menerima vaksin.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dari usaha pemantauannya terhadap media sosial, golongan anti-vaksin semakin meningkat.

“Tindakan yang tidak bertanggungjawab ini memberi cabaran kepada usaha kementerian dan akibatnya, penyakit berjangkit yang dapat dicegah dengan vaksin semakin meningkat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata imunisasi dapat mencegah penyakit ini dan mengurangkan komplikasi yang boleh menyebabkan kematian.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengenal pasti penolakan vaksin sebagai salah satu ancaman kesihatan global bagi 2019, katanya.

“Terdapat kumpulan dan individu yang mempengaruhi orang ramai untuk menolak vaksin dengan menyebarkan maklumat yang salah dan tidak berasas.

“Ini disebarkan oleh mereka yang teruja dengan tuntutan bahawa vaksinasi dan Program Imunisasi Kebangsaan tidak memberi faedah dan mempunyai banyak kesan negatif.

“Dakwaan itu tidak tepat sama sekali malah perbuatan menolak vaksin akan mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya,” kata Dr Noor Hisham.

“Bilangan penolakan vaksin yang direkodkan di klinik kerajaan meningkat daripada 637 kes pada tahun 2013 kepada 1,603 kes pada 2016 tetapi terdapat pengurangan sedikit pada 2017 iaitu 1,404 kes berikutan usaha advokasi kementerian yang luas dilakukan dengan kerjasama sektor swasta dan sukarelawan media sosial perubatan,” kata Dr Noor Hisham.

“Jika trend penolakan vaksin ini berterusan, ada kemungkinan bahawa penyakit berjangkit yang boleh dicegah oleh vaksin akan terus meningkat dan semua usaha akan sia-sia,” katanya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker