Isu SemasaTempatan

Cabaran Politik PH Selepas Hampir 8 Bulan Memerintah Malaysia

Bagi ramai individu, kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bukan sahaja tentang ‘menggulingkan’ pentadbiran terdahulu yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN), tetapi ia juga menandakan era baru untuk negara.

Era “Malaysia Baharu” ini menjanjikan pembaharuan institusi, komitmen baru kepada demokrasi, kesederhanaan, progresif, dan juga inklusif.

Namun setelah tujuh bulan memerintah, kerajaan baru telah menghadapi pelbagai cabaran berat yang membabitkan isu pihak majoriti-minioriti.

Menurut penganalisis di Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam (IAIS),  Wan Naim Wan Mansor, menerusi penulisannya bertajuk “Majority Rule, Minority Rights”, senario ini menyaksikan perbalahan di antara majoriti Melayu Islam dan minoriti bukan Melayu di dalam isu-isu seperti hak, kewajipan, dan pelaksanaan kuasa politik.

Walaupun kerangka politik ini – politik identiti, politik berdasarkan kaum, atau politik Islam – telah sekian lama melambangkan keadaan politik Malaysia, namun ia dilihat menjadi semakin meluas selepas PRU14.

Berdasarkan statistik, hanya 25% hingga 30% orang Melayu sahaja yang mengundi PH, sementara undian Melayu lain terbahagi di antara UMNO dan PAS.

Sebuah lagi kajian yang dilakukan oleh Merdeka Center pada tahun lalu turut mendapati bahawa 35% orang Melayu menganggap hak-hak Melayu dan isu-isu berkaitannya sebagai pendorong utama mereka dalam mengundi sesuatu parti ketika pilihan raya.

Oleh yang demikian, konfigurasi politik semasa mampu mewujudkan persaingan besar di antara kumpulan majoriti Melayu-Muslim konservatif dan kumpulan minoriti yang merupakan penyokong-penyokong utama PH.

CABARAN-CABARAN YANG DIHADAPI KERAJAAN BARU

Sebagai contoh, salah satu cabaran utama yang dihadapi oleh kerajaan baru adalah kontroversi yang membabitkan komuniti LGBT yang tergolong dalam puak minoriti.

Kumpulan-kumpulan advokasi (hak asasi manusia, peguam dll.) pula dilihat tergesa-gesa untuk menuntut normalisasi LGBT di Malaysia berikutan tiga insiden yang menyaksikan perbalahan majoriti-minoriti iaitu:

1. Khabar angin bahawa aktivis LGBT yang juga seorang homoseksual dilantik menjadi pegawai khas kepada seorang menteri;

2. Dua aktivis LGBT yang digambaran sebagai wira Malaysia di sebuah pameran seni di Pulau Pinang; 

3. Hukuman sebat di khalayak ramai yang dikenakan ke atas dua orang wanita lesbian di Terengganu

Satu lagi kontroversi yang melibatkan majoriti-minoriti adalah pengratifikasian Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang merupakan salah sebuah  daripada konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung Hak Asasi Manusia.

Hasrat kerajaan untuk meratifikasikan ICERD telah mendapat tentangan hebat daripada majoriti Melayu Islam, namun ia juga meraih sokongan besar daripada golongan bukan Melayu.

ICERD dibantah oleh kumpulan majoriti kerana ia berpotensi menjejaskan hak-hak istimewa Melayu/Bumiputera serta kedudukan Raja-Raja Melayu seperti yang telah termaktub di dalam Perlembagaan negara.

Pada 8 Disember 2018, perhimpunan anti-ICERD yang dianjurkan oleh UMNO, PAS, serta NGO-NGO
Melayu Islam telah berjaya mengumpulkan kira-kira 50,000 sehingga 60,000 peserta, sekali gus menjadikannya demonstrasi jalanan terbesar pernah diadakan id Kuala Lumpur.

BAGAIMANA UNTUK MENYELESAIKAN KONFLIK MAJORITI-MINORITI?

Di dalam konteks politik Malaysia, Wan Naim menyatakan bahawa kita perlu mengubah pandangan yang melihat majoriti dan minoriti sebagai pihak yang bertentangan dan eksklusif, atau sesuatu puak itu lebih tinggi berbanding yang lain.

Langkah pertama untuk melakukannya adalah dengan menyedari bahawa asas hubungan di antara majoriti dan minoriti adalah “feedback loop”, di mana nasib serta kebajikan kedua-dua kumpulan saling bergantung di antara satu sama lain.

Selain itu, isu-isu berhubung kebimbangan normalisasi LGBT terhadap kehidupan majoriti Melayu Muslim dan komuniti-komuniti agama lain, integriti  institusi keluarga, dan impaknya terhadap kesihatan awam perlu diambil serius.

Dalam kes ICERD yang membabitkan peruntukan Perlembagaan dan hak istimewa pula, sebarang tindakan lanjut perlu dilakuan secara terbuka dan melibatkan rundingan awam bersama pihak-pihak berkpentingan iaitu Bumiputera (masyarakat sivil dan ahli-ahli parlimen) serta penjaga perlembagaan (contoh – Majlis Raja-Raja).

Sekiranya rakyat Malaysia bersedia untuk bergerak kehadapan dan bersetuju untuk memansuhkan sebarang bentuk dasar afirmatif, keputusan sedemiian perlu ditentukan dalam cara yang telus dan konsultatif untuk mengelak daripada berlakunya sebarang keraguan terhadap motif-motif tersembunyi.

Di Malaysia, memahami perspektif-perspektif ini adalah penting untuk membangungkan struktur politik yang menyeimbangi kuasa majoriti dan turut melindungi hak-hak minoriti.

Sebarang bentuk pengaruh yang tidak seimbang daripada mana-mana pihak berpotensi memudaratkan masyarakat dan negara.

Sumber: NST

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button