Bisnes & Ekonomi

Misi Menanamkan Impian Untuk Ibu Komuniti Miskin Di Manila Menjana Pendapatan Sendiri

Melangkah keluar dari Citihub, terdapat seorang pedagang jalanan yang menjual manisan Filipina. Pengasas dan ketua projek Citihub, Panya Boonsirithum pun mempelawa kami semua untuk mencuba manisan yang daripada soya dan gula merah berserta ‘bubble’ yang diperbuat dari ubi kayu. Rasanya persis taufufah yang ada di Malaysia.

Kami pun mencuba manisan yang suam itu sambil berjalan kaki menuju ke bas untuk lawatan ke perniagaan sosial kami kedua iaitu Happy Helpers seperti yang telah dirancangkan oleh Mabuhay Restop untuk lawatan kami bersama myHarapan.

Perkhidmatan Pembersihan Yang Sangat ‘Happy’

Happy Helpers merupakan sebahagian daripada perniagaan sosial yang memberi pekerjaan kepada komuniti di bawah naugan Gawad Kalinga (GK). Ia diinspirasikan oleh dua orang ibu empat tahun lalu setelah mempunyai pengalaman dan ceritanya tersendiri. 

Syarikat ini memberi khidmat pembersihan rumah di kawasan Metro Manila. Mereka memberi pekerjaan kepada komuniti wanita di kawasan berdekatan pejabat mereka (2km radius dari kawasan pejabat), yang sihat fizikal dan mental.

Gaji Pembantu Rumah Di Filipina Hanya RM400 Sebulan

Di Filipina, bagi orang yang berpendapatan sederhana dan ke atas, lazimnya mereka mempunyai pembantu rumah. Ini kerana gaji bulanan mereka ialah hanya P5000 (RM392.80) sebulan. Mereka tinggal bersama di rumah dan melakukan segala pekerjaan yang diperlukan di dalam sesebuah rumah.

Oleh itu, apa yang membezakan syarikat ini daripada syarikat lain ialah untuk gaji yang sama, P5000 (RM392.80) sebulan, mereka hanya bekerja 4-5 hari seminggu, 5 jam sehari dan boleh kembali ke rumah untuk bersama keluarga dan anak-anak mereka setelah itu.

Sumber Imej; philstar

Pemilik syarikat ini iaitu Maan Sicam dan Jo Endaya ini sebenarnya telah memulakan perniagaan ini kerana pengalaman mereka sendiri yang mengajar erti kesukaran untuk mengurus rumah, membersihkan rumah dan menjaga anak-anak sendiri.

Pengalaman Mengajar Erti Kepahitan

Maan dan Jo kedua-duanya dilahirkan dalam rumah yang memiliki pembantu rumah. Mereka terbiasa dengan mempunyai penjaga sehinggalah mereka tinggal di luar negara dan terpaksa berdikari.

Maan pindah ke London pada tahun 2008 untuk mengikuti suaminya dan meninggalkan kerjayanya yang bergaji tinggi di sebuah syarikat multinasional. Dengan dua kanak-kanak dan tidak biasa menguruskan semua perkara sendiri, ia mengambil masa satu tahun untuk dirinya mengatur dan mengurus rumah serta keluarga.

Mengakui bahawa ia sangat sukar untuk menjaga anak-anak, mengemas rumah, masak sehingga terasa tertekan mengapa dia perlu melakukan ini semua sedangkan dia seorang yang terpelajar, mampu bekerja, mampu menjana pendapatan dan sebagainya. Namun akhirnya Maan jatuh cinta dengan keadaan menjadi ibu sepenuh masa dan menghargai setiap masanya bersama anak dan suami.

Jo pula keluar negara untuk menghabiskan pengajian sarjananya di Kanada. Beliau juga seperti Maan tidak biasa dengan keadaan tinggal bersendirian dan melakukan segalanya sendiri tetapi akhirnya terasa seronok menguruskan rumahnya sendiri.

Jo tidak pulang ke Filipina setelah menamatkan pengajian tetapi bekerja dan bertemu sang suami yang bekerja di London yang kebetulan rakan Maan.

Maan dan Jo mempunyai minat yang sama iaitu membersihkan rumah!

Tiada Perkhidmatan Pembersihan Harian Di Filipina

Pada tahun 2012, Maan dan keluarganya pindah ke Brazil di mana situasi di sana hampir sama dengan keadaan di Filipina. Ia merupakan kali pertama dia tinggal di sebuah kondominium. Maan melihat keadaan di Sao Paulo di Brazil ini mungkin akan terjadi di Metro Manila dalam sepuluh tahun yang akan datang, di mana kebanyakan kediaman akan menjadi kondominium dan tidak ada bilik tambahan untuk pembantu rumah.

Apabila Maan kembali ke Filipina, dia sudah menjadi terbiasa dengan keadaan di dalam rumah hanya terdiri daripada ahli keluarganya dan tiada pembantu rumah. Namun dia mengaku setelah mempunyai empat orang anak, ia adalah baik untuk mendapatkan pertolongan untuk mengemas rumahnya sekali-sekala – tetapi tidak ada syarikat pada masa itu yang menawarkan perkhidmatan tersebut pada masa itu.

Oleh itu Maan dan Jo menjadi rakan kongsi dan melihat ia sebuah potensi yang baik untuk mewujudkan perniagaan yang pada mulanya tidak pernah terlintas untuk dijadikan sebuah perniagaan sosial.

Tidak Tahu Hendak Bermula Dari Mana

Tetapi untuk memulakan perniagaan ini, mereka tidak tahu dari mana mahu bermula. Mereka tidak tahu mana untuk dapatkan pekerja dan sebagainya.

Mereka akhirnya dibantu oleh seorang rakan yang mempertemukan mereka dengan GKnomics dan memulakan perniagaan di dalam garasi Jo pada tahun 2015.

Menjadi Boss Dan Pekerja Pada Masa Yang Sama

Maan dan Jo memulakan semuanya sendiri, mereka membeli barangan cuci dan memandu pekerja Happy Helpers ke tempat yang perlukan pembersihan sambil mengambil anak mereka dari sekolah. Adakalanya mereka juga melakukan kerja pembersihan tersebut bersama para Happy Helpers.

“Ini memberi kredibiliti kepada para pekerja kami kerana kami boleh melakukan apa yang mereka lakukan,” kata Maan.

Permintaan ke atas kerja pembersihan mereka juga semakin meningkat dan akhirnya mereka membeli sebuah van dan mengupah seorang pemandu. Setiap hari ada sahaja pesanan pembersihan daripada pelanggan.

Bekerjasama Dengan Perniagaan Sosial Lain

Akhir tahun 2015, Happy Helpers telah bekerjasama dengan Messy Bessy, sebuah perniagaan sosial yang menghasilkan produk pembersihan.

Ia juga menjadi penambahan yang baik untuk syarikat Happy Helpers kerana ramai pelanggannya sangat mementingkan produk yang digunakan dan Messy Bessy mengeluarkan produk dari bahan alami, tiada tosik dan boleh biodegradasi.

Happy Helpers Sememangnya Happy

Sumber Imej: Facebook Syed Azmi

Semasa kami berada di pejabat pengurusan Happy Helpers, mereka sedang mengadakan perjumpaan mingguan dengan semua pekerja mereka.

Aura yang ditonjolkan adalah sangat ceria, meriah dan bersifat kekeluargaan. Setiap minggu mereka akan mengadakan aktiviti untuk menaikkan semangat para pekerja dan berkongsi pengalaman.

Mereka juga akan melihat semula komen dari pelanggan tentang pekerjaan yang mereka telah lakukan dan ganjaran berbentuk beras diberikan kepada pekerja yang telah menunjukkan prestasi yang baik.

Sumber Imej : Facebook Syed Azmi

Salah seorang pekerjanya yang juga mempunyai cucu sangat mencuit hati apabila dia diminta membentangkan impiannya pada masa akan datang. Antaranya ialah dia ingin memiliki “boyfriend” oleh itu dia harus ke spa untuk menjadikan dirinya cantik dan mendapatkan boyfriend seperti ini.. sambil menunjukkan gambar seorang lelaki kacak.

Namun salah satu impian nenek itu juga ialah untuk menyekolahkan cucunya ke sekolah swasta yang baik untuk masa hadapannya, makan makanan sihat, memiliki rumah dan banyak lagi.

Sumber Imej : Facebook Syed Azmi

Mahukan Wanita Filipina Memiliki Impian Untuk Diri Mereka Sendiri

Maan dan Jo mahu mereka untuk mempunyai impian dan matlamat dalam hidup untuk diri mereka sendiri kerana sebagai ibu selalunya impian mereka sudah dipindahkan kepada anak mereka sendiri tetapi Maan sering mengingatkan mereka bahawa mereka (ibu, pekerja Happy Helpers) boleh memperbaiki diri. Terdapat banyak lagi ruang dan peluang yang anda boleh lakukan untuk diri sendiri.

Maan dan Jo mengakui bahawa mereka lebih mudah bekerja dengan wanita di dalam Happy Helpers tetapi tidak menidakkan kemungkinan untuk para lelaki juga bekerja untuk mereka.

Seperti perniagaan yang lain, mereka ingin mengembangkan perniagaan mereka ke komuniti lain dan menambah lagi pekerja yang berkemahiran yang mampu mengubah kehidupan mereka sendiri untuk menjadi lebih baik dan tetap dengan pendirian perniagaan sosial ini iaitu bersikap positif, sentiasa jujur, mempunyai nilai kekeluargaan, rasa hormat, bersikap profesional dalam hati dan setiap tindakan masing-masing.

 

____

*Ikuti lagi perjalanan kami bersama myHarapan menelusuri perniagaan sosial di Manila, Filipina pada rencana seterusnya.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker