AntarabangsaIsu Semasa

Majoriti Penduduk Muslim Mindanao Pilih “Ya” Dalam Referendum Autonomi

Waktu yang dinanti-nantikan oleh penduduk Muslim di wilayah bergolak Mindanao, selatan Filipina akhirnya menjadi kenyataan.

Berdasarkan keputusan pada Jumaat, majoriti penduduk telah memilih “Ya” dalam referendum yang bertujuan untuk mewujudkan wilayah autonomi Bangsamoro yang ditadbir oleh pemimpin-pemimpin daripada kumpulan pemberontak.

Ini bermakna, kumpulan pemberontak terbesar Filipina, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) akan mempunyai kuasa politik dan pentadbiran autonomi ini dijangka akan menamatkan konflik yang telah berlangsung selama berdekad-dekad di wilayah itu.

Difahamkan, kira-kira 150,000 nyawa telah terkorban dalam pemberontakan yang bermula pada tahun 1970an yang bertujuan untuk mendesak kerajaan agar memberi kemerdekaan kepada puak minoriti Muslim di Mindanao.

Selain itu, para pemimpin turut menyatakan bahawa pentadbiran autonomi di Mindanao ini akan menjadi alternatif yang terbaik untuk menghentikan gelombang baru kumpulan-kumpulan militan berkaitan IS yang masih menjadi salah satu ancaman utama.

“Kami amat gembira dengan sokongan luar biasa orang ramai. Ini adalah kemenangan besar,” kata pengerusi MILF, Murad Ebrahim.

Menurut keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya Filipina, seramai 1.7 juta penduduk telah menyokong referendum itu manakala hanya 254,600 pengundi yang membantahnya.

Namun, segelintir kawasan kecil yang tidak mengundi pada Isnin lalu dijangka akan turut membuang undi pada 6 Februari nanti.

Pasukan pemberontak Muslim telah berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan atau autonomi di Mindanao, kerana wilayah itu dikatakan adalah tanah asal nenek moyang mereka sejak pedagang-pedagang Arab tiba di sana pada abad ke-13.

Dalam pada itu, pemberontak dan kerajaan pusat berharap agar Bangsamoro baru yang aman akan mampu menarik masuk pelaburan yang diperlukan untuk membebaskan wilayah itu daripada kemiskinan tegar yang menjadikannya ‘kawasan panas’ pengrekrutan radikal.

Sebagai sebahagian daripada proses damai, MILF telah berganding bahu dengan kerajaan dalam memerangi kumpulan-kumpulan militan berkaitan IS.

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte sendiri berasal dari Mindanao, dan beliau dikatakan menjadi penyokong tegar penubuhan wilayah Bangsamoro dan telah menandatangani undang-undang pada tahun lepas yang membolehkan referendum diadakan.

Seperti yang termaktub di bawah undang-undang tersebut, Bangsamoro akan menerima dana pembangunan bernilai AS$950 juta (RM3.92 bilion) bagi tempoh 10 tahun akan datang, serta sebahagian daripada hasil cukai yang diperoleh di dalam sempadannya.

Sumber: AFP

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button