AntarabangsaIsu Semasa

Setelah Beberapa Kali Ditangguhkan, Pilihan Raya Thailand Akhirnya Ditetapkan Pada 24 Mac

Thailand akan melangsungkan pilihan raya umumnya dalam usaha mengembalikan pemerintahan demokrasi pada 24 Mac ini.

Perkara tersebut diumumkan secara rasmi oleh suruhanjaya pilihan raya negara itu pada Rabu, dan ini akan menjadi pemilihan yang pertama sejak tentera menggulingkan kuasa kerajaan terdahulu pada tahun 2014.

“Suruhanjaya Pilihan Raya bersetuju untuk menetapkan tarikh pilihan raya pada 24 Mac,” kata pengerusinya, Ittiporn Boonprakong.

Difahamkan juga, tarikh pilihan raya telah ditangguhkan beberapa kali oleh kerajaan pimpinan tentera dan ini sekali gus mencetuskan pelbagai siri protes berikutan kemarahan rakyat.

Pada Disember lalu, suruhanjaya berkenaan menyatakan bahawa pilihan raya akan diadakan pada 24 Februari tahun ini, namun kerajaan meluahkan kebimbangan acara/majlis pasca-pemilihan akan bertentangan dengan tarikh pertabalan Raja Maha Vajiralongkorn yang dijadualkan untuk berlangsung pada 4 – 6 Mei nanti.

Keluarga Diraja Thai amat dihormati serta disanjungi, dan pertabalan pada tahun ini akan menjadi yang pertama bagi kebanyakan rakyat.

Kali terakhir Thailand mengadakan majlis pertabalan maharaja adalah pada tahun 1946, bagi menabalkan mendiang Raja Bhumibol Adulyadej, iaitu ayahanda kepada Vajiralongkorn yang mangkat pada bulan Oktober 2016.

Dua parti politik terbesar negara itu pernah berkata bahawa mereka tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap penangguhan tarikh pilihan raya (24 Februari) bagi memberi laluan kepada pelaksanaan majlis pertabalan Maharaja.

“Majlis-majlis pertabalan adalah penting….Semua orang gembira untuk menyaksikan majlis yang diadakan untuk semua rakyat Thai itu.

“Sama ada kelewatan (pilihan raya) itu panjang atau pendek, ia tidak menjadi masalah,” kata Thana Chirawinit, jurucakap Parti Demokrat.

Namun, sesetengah parti lain membantah penangguhan itu sambil mendakwa bahawa pihak tentera hanya mahu terus mengekalkan kuasa sebagai pemerintah.

“Penangguhan ini bukan hanya tentang tarikh pilihan raya, tetapi ia juga menjejaskan kredibiliti dan ekonomi negara.

“Memandangkan kita sudah ada tarikh baru (24 Mac), kami berharap agar tentera tidak akan menggunaan kuasa-kuasa istimewanya untuk mencetuskan apa-apa situasi yang boleh menyebabkan mereka menangguhkan lagi pilihan raya,” tegas Pannika Wanich, jurucakap parti baru, Future Forward Party.

Dalam pada itu, Boonprakong menyatakan bahawa tarikh terbaru ini “adalah sesuai berdasarkan pelbagai faktor, termasuk pengundian awal dan pendaftaran calon.”

Oleh itu, parti-parti politik akan mengemukakan senarai calon ahli parlimen dan sehingga tiga orang calon perdana menteri kepada suruhanjaya tersebut di antara 4 – 8 Februari.

Di bawah undang-undang Thai juga, Suruhanjaya Pilihan Raya perlu mengesahkan calon-calon ahli parlimen yang telah menang dalam tempoh 60 hari selepas mengundi, dan parlimen pula perlu mengadakan mesyuarat dalam tempoh 15 hari selepas keputusan rasmi dikeluarkan.

Kemudian, Maharaja akan mempengerusikan pembukaan parlimen.

 

Sumber: The Star – Reuters

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button