Gaya HidupKesihatan

Organ Sebesar Jari Kelingking Yang Boleh Membawa Maut Jika Pecah

Appendik merupakan organ sebesar jari kelingking sahaja. Ia biasanya menonjol pada bahagian awal usus besar yang terletak di sebelah kanan abdomen atau lebih dikenali sebagai caecum.

Radang Appendik (appendicitis) berlaku apabila appendik menjadi bengkak dan bernanah seterusnya pecah sekiranya tidak dibuang dengan segera melalui pembedahan.

Jika ini berlaku, ia mungkin akan menyebabkan masalah kesihatan yang kritikal hingga boleh membawa kematian.

Rasa sakit pada pesakit kebiasaannya akan mula dirasai pada bahagian pusat dan kemudian beralih ke bahagian bawah kanan abdomen. 

Biasanya sakit yang dialami berterusan selama 6-12 jam dan menjadi lebih teruk. Setiap individu berisiko terkena radang appendik tetapi ia lebih kerap terjadi pada mereka yang berusia 10-30 tahun .

Faktor Sakit Appendik

Hingga ke hari ini, penyebab keradangan appendik ini masih kurang jelas. Namun ianya mungkin disebabkan oleh :

1. Sisa-sisa makanan atau najis yang tersumbat di rongga dinding usus dan appendik menyebabkannya membengkak.

2. Jangkitan virus atau bakteria pada sistem pencernaan ataupun radang-radang yang lain .

Pada kedua-dua kes, ia akan mengakibatkan appendik menjadi radang seterusnya bernanah dan pecah jika tidak dirawat segera.

Simptom-simptom

1. Peringkat awal – sakit pada bahagian pusat dan kemudiannya beralih ke bahagian bawah kanan abdomen.

2. Loya dan muntah-muntah

3. Hilang selera makan

4. sembelit

5. sukar membuang angin

6. cirit-birit

7. demam

Kesakitan mungkin dirasai biarpun apabila abdomen disentuh secara lembut akibat iritasi dinding usus dan abdomen.

Bila Perlu Berjumpa Doktor

Kanak-kanak biasanya tidak menunjukkan simptom-simptom yang jelas dan ibu bapa mungkin memgambil ringan tanpa sebarang rawatan. 

Mereka juga lebih cederung untuk mengalami kondisi appendik pecah berbanding golongan dewasa.

Oleh demikian diharapkan ibu bapa lebih peka terhadap sebarang kesakitan pada bahagian abdomen anak mereka.

Golongan dewasa juga hendaklah segera ke hospital berdekatan jika terdapat tanda-tanda seperti di atas.

Komplikasi yang berbahaya

APPENDIK PECAH : Komplikasi yang sangat serius adalah apabila appendik pecah. Kandungan dalam usus dan organisma-organisma yang membawa jangkitan akan menyerang kawasan abdomen. Ini akan menyebabkan jangkitan pada lapisan yang meliputi kawasan pencernaan. Pesakit akan merasai tidak selesa, tegang dan sakit jika disentuh. Lain-lain yang dapat dilihat adalah demam ,dahaga dan air kencing yang sedikit.

PERITONITIS : Peritonitis atau radang pada dinding abdomen biasanya perut berlaku sebagai sequel daripada appendik yang pecah. Ia adalah kes kecemasan. Jika salah seorang ahli keluarga anda mengalaminya, maka perlulah merujuk kepada bahagian kecemasan secepat mungkin sebelum ia menjadi lebih teruk. Keadaan ini jika tidak dirawat segera menyebabkan kadar kematian yang tinggi.

* Dr Khairul Izan Md Ghani merupakan Pakar Bedah yang berpengalaman dalam bidang perubatan lebih daripada 13 tahun dan menjadi Pakar Bedah untuk lebih daripada 10 tahun. Beliau yang pernah berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Putrajaya, Hospital Ampang dan Pusat Perubatan UKM ini juga merupakan mantan pensyarah perubatan, penulis dan konsultant di beberapa institusi di Kuala Lumpur. Pengalaman yang luas ini juga menyebabkan beliau sering dijemput untuk memberi ucaptama dalam seminar dan acara di dalam dan luar negara.
Kini beliau berkhidmat di Hospital Colombia Asia Petaling Jaya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker