AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Apa Perkara Penting Dalam Politik AS Yang Perlu Diberi Perhatian Pada Tahun Ini?

Ahli-ahli Demokrat telah berjaya mendominasi Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) pada Pilihan Raya Pertengahan Penggal tahun lepas.

Walau bagaimanapun, Republikan masih mempertahankan kedudukan mereka di dalam Dewan Senat.

Dalam pada itu, perkara ini dijangka akan menjadi penentu besar kepada hala tuju politik AS bagi tahun 2019.

Berikut adalah beberapa peristiwa penting yang perlu diberi perhatian pada tahun ini:

PENDAKWAAN & PEMECATAN DONALD TRUMP?

Terdapat kemungkinan Presiden AS, Donald Trump akan dan boleh didakwa, namun pemecatan beliau mungkin agak mustahil untuk berlaku.

Ini adalah kerana ‘definisi’ pendakwaan di dalam Perlembagaan AS.

Menurut Perlembagaan, Dewan Perwakilan boleh mendakwa seseorang presiden dengan mendapatkan undian majoriti mudah.

Memandangkan majoriti anggota kongres di dalam Dewan Perwakilan adalah Demokrat, maka senario ini adalah realistik.

Tetapi sekiranya usaha Demokrat itu berjaya sekali pun, ia akan tetap dilihat sebagai satu usaha yang sia-sia.

Pendakwaan tidak membawa kepada pemecatan segera, tetapi presiden itu akan menjalani ‘perbicaraan’ di Dewan Senat.

Sekiranya meraih undian 2/3 majoriti daripada anggota-anggota Senat, barulah seseorang presiden itu boleh dipecat.

Namun begitu, Dewan Senat kini masih didominasi oleh ahli-ahli Republikan yang sememangnya menyebelahi Trump, yang juga seorang Republikan.

Oleh itu, usaha Dewan Perwakilan (Demokrat) untuk mendakwa Trump tidak akan mendatangkan impak besar kerana presiden itu akan ‘menang’ dengan mudah di dalam Dewan Senat.

CABARAN DEWAN PERWAKILAN PIMPINAN DEMOKRAT

Anggota-anggota Demokrat di dalam Dewan Perwakilan akan berdepan beberapa cabaran politik.

Kemungkinan pemecatan Trump hampir mustahil, tetapi Demokrat masih akan ditekan oleh pihak-pihak tertentu untuk meneruskan pendakwaan terhadap presiden itu, walaupun hanya untuk meraih “kemenangan simbolik.”

Tetapi, usaha mendakwa Trump yang terlalu agresif pula berpotensi mencetuskan kemarahan orang ramai, yang mungkin akan melihat Kongres lebih mementingkan politik berbanding memperbaiki kehidupan rakyat AS.

Walaupun memegang majoriti dalam Dewan Perwakilan, Demokrat akan mengalami kesukaran untuk meluluskan undang-undang baru memandangkan Dewan Senat dikawal oleh Republikan.

Namun, apa yang boleh dilakukan oleh Demokrat pada waktu ini adalah berusaha untuk meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) berprofil tinggi termasuk menaiktaraf akses terhadap penjagaan kesihatan, serta menjadikan pendidikan lebih berpatutan.

Mungkin RUU tersebut tidak akan diluluskan menjadi undang-undang buat masa ini, tetapi ia sekurang-kurangnya akan menjadikan Demokrat lebih popular dan sekali gus berpotensi memenangi hati rakyat menjelang Pilihan Raya Presiden tahun 2020 nanti.

 

PILIHAN RAYA PRESIDEN 2020

Sejak kekalahan Hillary Clinton pada Pilihan Raya Presiden 2016, senarai calon presiden Demokrat yang dijangka akan bertanding pada pemilihan tahun 2020 telah diluaskan lagi.

Berikut adalah individu-individu Demokrat yang berpotensi untuk bertanding:

VETERAN

1. John Kerry

2. Joe Biden

3. Bernie Sanders

4. Hillary Clinton (sekali lagi)

5. John Hickenlooper

6. Gavin Newsom

7. Cory Booker

8. Amy Klobuchar

WAJAH BARU

1. Kamala Harris

2. Beto O’Rourke

3. Tom Steyer

4. Michael Bloomberg

Walau bagaimanapun, Republikan akan mengalami kesukaran dalam pilihan raya yang akan datang. Skandal-skandal yang menyelubungi Trump akan menjadian beliau sebagai “calon yang kurang menarik” pada tahun 2020 nanti.

KEADAAN EKONOMI TENTUKAN KEDUDUKAN TRUMP?

Keadaan ekonomi AS berpotensi membawa impak yang besar terhadap politik negara itu bagi tahun 2019 dan 2020.

Kemerosotan ekonomi yang teruk bukan sahaja akan menjejaskan rakyat AS, tetapi presidennya juga.

Sekiranya bukti salah laku Trump di dalam pelbagai isu menjadi terlalu signifikan dan tidak boleh diabaikan, anggota Republikan di Dewan Perwakilan dan Dewan Senat mungkin akan melihat presiden itu sebagai liabiliti dan menyedari bahawa tiada sebab untuk melindunginya lagi.

Sumber: Reuters

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close