AntarabangsaIsu Semasa

Hubungan Kemboja Dan China “Lebih Istimewa” Berbanding Negara Lain

Baru-baru ini, Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen menyatakan bahawa China berikrar untuk memberi bantuan kewangan bernilai 4 bilion yuan (RM2.43 bilion) kepada Kemboja dari tahun 2019 hingga 2021.

Bantuan kewangan ini sekali gus mencerminkan hubungan yang kuat di antara kedua-dua negara sementara Kesatuan Eropah (EU) mengancam untuk mengenakan sekadan perdagangan ke atas Kemboja.

Memetik laporan media antarabangsa, Hun Sen kini sedang mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari ke China, yang merupakan sekutu serantaunya yang “paling penting”.

Beliau turut mengadakan perbincangan dua hala bersama Presiden Xi Jinping di Beijing, dan meminta bantuan kewangan serta pelaburan daripada China terhadap industri pakaian di Kemboja.

Selain daripada bersetuju untuk memberi bantuan kewangan, Xi juga berjanji untuk mengimport 400,000 tan beras dari Kemboja, serta meningkatkan perdagangan bilateral sehingga AS$10 bilion (RM41.3 bilion) menjelang tahun 2023.

“Presiden (Xi Jinping) berkata bahawa hubungan di antara China dan Kemboja adalah sangat istimewa, berbanding dengan negara-negara lain,” ujar Hun Sen.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar China berkata Xi memberitahu Hun Sen bahawa China juga mahu mengukuhkan lagi kerjasama politik, ekonomi dan keselamatan bersama Kemboja, serta meningkatkan penyelarasan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan di dalam Asean.

Difahamkan, China telah memberi wang bernilai berbilion dolar bagi tujuan bantuan pembangunan dan pinjaman kepada Kemboja menerusi inisiatif Beld and Road yang diperkenalkan oleh Xi.

Sementara itu, sesetengah kerajaan Barat menuduh inisiatif China itu memerangkap negara-negara lain di dalam hutang.

Namun, China menafikan tuduhan itu sekeras-kerasnya.

Pada Pilihan Raya Umum Kemboja pada Julai tahun lalu, Parti Rakyat Kemboja pimpinan Hun Sen telah memenangi semua kerusi di dalam Parlimen, memandangkan parti pembangkang utama telah dibubarkan secara paksa pada tahun 2017 atas kesalahan melakukan “pembelotan”.

Tindakan kerajaan membubarkan parti pembangkang utama telah menerima kecaman hebat daripada EU, yang juga mengancam untuk mengenakan sekatan ekonomi terhadap Kemboja.

 

Sumber: Reuters

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker