Isu SemasaTempatan

“Penipuan” Dalam Menyiapkan Tesis

Tidak dinafikan bahawa kerja-kerja menyelidik dan menulis adalah satu cabaran besar bagi mana-mana pelajar pengajian pasca siswazah (Masters) atau Doktor falsafah (PhD).

Tetapi, mengambil jalan mudah dengan mendapatkan ‘perkhidmatan’ atau mengupah individu lain untuk membantu menyiapkan kerja-kerja anda seperti tesis, adalah satu perbuatan yang tidak beretika serta merugikan.

Difahamkan, terdapat pelbagai perkhidmatan sedemikian yang boleh didapati di atas talian (online), antaranya adalah menyiapkan, menyemak/membetulkan (proofread), dan juga menyediakan kandungan bagi tesis anda.

Memetik laporan The Star, ia mengambil masa yang amat singkat untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut, sekiranya anda sanggup membelanjakan wang bernilai sehingga AS$3,500 (RM14,350).

Individu-individu yang akan menyiapkan tesis anda juga adalah mereka yang pakar dalam bidang/kursus yang sedang anda lakukan.

Tidak salah jika berniat untuk mendapatkan pandangan mereka sebagai pakar, namun ia menjadi satu kesalahan dan dianggap sebagai ‘penipuan’ sekiranya anda meminta mereka untuk menyiapkan tesis itu secara keseluruhan tanpa sebarang usaha daripada anda.

“Perkhidmatan proofreading adalah perkara biasa, tetapi apa-apa sahaja yang lebih daripada itu, sebagai contoh menawarkan data, adalah perbuatan yang tidak beretika dan boleh menjadi kesalahan jenayah,” kata peguam, Datuk Baljit Singh Sidhu.

Beliau berkata, pelajar-pelajar yang mengemukakan tesis yang mempunyai data hasil daripada mendapatkan perkhidmatan sedemikian boleh didakwa di bawah Kanun Keseksaan atas perbuatan menipu.

Menurut seorang ejen daripada sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan proofreading, syarikatnya boleh menyediakan data primer, data sekunder, serta data analisis.

Data primer dikumpul oleh seorang penyelidik daripada sumber-sumber asal atau ‘first-hand’ dengan menggunakan kaedah-kaedah seperti kaji selidik/tinjauan (survey), wawancara/temubual, atau eksperimen.

Data sekunder pula adalah maklumat yang sudah ada seperti di dalam jurnal atau arkib.

Bagi data primer, ejen tersebut menjelaskan bahawa syarikatnya tidak boleh mengumpul data itu menerusi temubual, tetapi ia boleh menyediakan set data yang dihasilkan daripada kajian soal selidik (questionnaire) yang dikemukakan oleh pelanggan kepada mereka.

Harga pula berbeza mengikut berapa panjang tesis itu dan waktu yang diperlukan untuk menyiapkannya.

Ujar ejen berkenaan, harga untuk menulis tesis Masters 200 muka surat dalam tempoh 60 hari bernilai AS$3,386.00 (RM13,882).

Harga untuk melakukan proofreading ke atas tesis yang mempunyai 200 muka surat pula adalah AS$1,706.60 (RM6,997).

Namun begitu, syarikat tersebut tidak mempamerkan alamat operasi mereka, tetapi hanya menyediakan talian bebas tol dari Amerika Syarikat (AS).

Sebuah lagi syarikat yang menawarkan perkhidmatan proofreading turut memberi jaminan bahawa tesis yang dihasilkan oleh mereka bagi pelanggan akan melepasi ujian plagiarisme.

Berdasarkan laman sesawang syarikat itu, kakitangan mereka menggunakan ‘peralatan terkini’ bagi tujuan tersebut.

Sementara itu, seorang peguam, Bryan Ng Yih Miin berkata bahawa pelajar universiti akan tertakluk kepada klausa larangan melakukan plagiarisme seperti yang terkandung di dalam buku panduan pelajar atau kontrak di antara pelajar dan pihak universiti.

“Kontrak tersebut mungkin mempunyai klausa yang menyatakan bahawa pihak universiti berhak untuk mengambil tindakan disiplin sekiranya berlaku pelanggaran peraturan yang seperti yang tertakluk di bawah panduan pelajar.

“Di sini, pihak universiti boleh mengambil tindakan undang-undang,” jelas Ng.

 

 

Sumber: The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button