Hiburan

Menyelami Kisah Rakyat Dalam Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal

Selepas sedekad menerbitkan filem animasi 3D pertama berjudul Geng: Pengembaraan Bermula pada 2009, Les’ Copaque kini kembali dengan buah tangan terbaharu berjudul Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal. 

Bakal menjengah pawagam seluruh negara pada 21 Mac depan sempena cuti persekolahan, filem tersebut menelan kos pembikinan sebanyak RM20 juta selari dengan misi untuk melonjakkan mutu industri animasi tempatan setanding peringkat antarabangsa.

Image result for keris siamang tunggal

Menurut pemilik dan pengarah Les Copaque Production, Burhanuddin Md. Radzi, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal mengambil masa selama lima tahun untuk dibangunkan kerana perlu melalui pelbagai proses penyelidikan dan teknikal terkini.

“Naskhah ini mengambil masa agak panjang iaitu selama lima tahun untuk dikeluarkan kerana ia dipengaruhi dengan beberapa faktor bagi meningkatkan tahap kemahiran teknikal dalam kalangan pekerja.

“Dahulu, kami cuma ada 30 orang pekerja. Namun selepas pelbagai penambahbaikan dilakukan dari segi teknologi, jumlah keseluruhan staf yang bekerja untuk penghasilan naskhah filem melibatkan seramai 140 orang,” ujarnya ketika ditemui pada pelancaran poster dan trailer filem berkenaan.

Tambah Burhanuddin, biarpun mendapat suntikan teknologi luar negara iaitu dari Hong Kong, Thailand dan Amerika Syarikat, namun naskhah berkenaan tetap dikendalikan sepenuhnya oleh anak-anak tempatan dari segi olahan penceritaan dan muzik.

Malah, Keris Siamang Tunggal mendapat sentuhan daripada tiga orang pengarah muda berbakat besar iaitu Ahmad Razuri Roseli, Adam Amiruddin dan Syed Nurfaiz Khalid Syed Ibrahim.

Ketiga-tiganya mempunyai pengalaman luas dalam penghasilan siri popular terbitan Les’ Copaque iaitu animasi Upin & Ipin, Pada Zaman Dahulu dan Puteri yang ditayangkan menerusi kaca televisyen.

Keris Siamang Tunggal berkisar tentang pengembaraan Upin dan Ipin ke sebuah kerajaan Inderaloka selepas menemui sebilah keris Melayu dalam bilik stor milik Tok Dalang bernama Keris Siamang Tunggal. Pengembaraan itu membawa mereka bertemu pelbagai watak dongeng popular tempatan antaranya Mat Jenin, Si Tanggang, Bawang Putih Bawang Merah dan Pak Belalang.

“Sejak dahulu, Les’ Copaque cuba mengekalkan tradisi mengangkat kisah rakyat dalam cerita. Lebih-lebih lagi dengan memasukkan elemen kisah legenda yang sangat dekat dalam kehidupan masyarakat kita, penonton akan berpeluang mengimbau kembali kenangan zaman kanak-kanak menerusi watak yang dianimasikan dalam bentuk yang baharu dan segar,” ujarnya.

Filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal merupakan edaran GSC Movies dan mendapat geran sokongan daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sebanyak RM3 juta.

Selain ditayangkan di Malaysia, naskhah yang dijangka mengulangi fenomena Geng: Pengembaraan Bermula juga bakal memasuki pawagam luar negara seperti Indonesia, Brunei dan Singapura.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker