AntarabangsaIsu Semasa

Mengapa Pelabur China ‘Lari’ Dari Silicon Valley?

Dasar-dasar baru pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang bertujuan untuk menyekat akses China terhadap teknologi buatan AS telah menyebabkan ramai pelabur China berundur daripada melabur ke dalam syarikat-syarikat start-up di negara barat itu.

Menurut Rhodium Group, firma penyelidikan ekonomi yang berpangkalan di New York, pelaburan China terhadap syarikat start-up di AS merekodkan jumlah AS$3 bilion (RM12.3 bilion) pada tahun lepas.

Difahamkan, Trump telah menandatangani sebuah undang-undang baru yang meluaskan kuasa kerajaan untuk menyekat pelaburan asing di dalam syarikat-syarikat AS, tanpa mengira dari negara mana pelabur itu datang.

Peraturan baru ini dikatakan masih sedang dimuktamadkan, namun ‘veteran-veteran’ industri teknologi menyatakan bahawa ramai pelabur sudah mula ‘melarikan diri’.

“Urusniaga membabitkan syarikat, pembeli, dan pelabur China telah berhenti,” kata Nell O’Donnel, seorang peguam yang mewakili syarikat-syarikat teknologi AS dalam transaksi bersama pembeli asing.

Memetik laporan Reuters, peguam-peguam berkata bahawa mereka bertungkus-lumus menulis semula syarat-syarat perjanjian urusniaga untuk membantu memastikan pelaburan-pelaburan berkenaan mendapat kelulusan daripada kerajaan AS.

Pelabur-pelabur China telah berundur daripada melakukan urusniaga dan tidak lagi mengadakan mesyuarat/perjumpaan dengan syarikat-syarikat start-up AS.

Namun, terdapat juga segelintir usahawan yang mengelak daripada menggunakan wang pelabur China kerana bimbang terhadap penilaian/siasatan yang akan dilakukan oleh kerajaan dengan tempoh yang panjang.

Ini sekali gus akan menjejaskan sumber serta momentum mereka di dalam arena perniagaan yang sentiasa berkembang/berubah dengan pantas.

Sementara itu, Volley Labs Inc, sebuah syarikat berpangkalan di San Francisco yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan atau ‘artificial intelligence’ (AI) untuk membina bahan-bahan latihan korporat mengambil langkah selamat.
Ia itu telah menolak tawaran pelabur-pelabur China pada tahun lalu selepas menerima wang tunai daripada syarikat berpangkalan di Beijing, TAL Education Group sebagai sebahagian daripada pembiayaan/pelaburan pada tahun 2017.
“Atas sebab-sebab yang jelas, kami berpandangan bahawa ia tidak masuk akal untuk mendedahkan diri kami dengan lebih mendalam terhadap pelabur-pelabur yang datang dari sebuah negara yang sedang menghadapi ketegangan perdagangan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Volley Labs, Carson Kahn, merujuk kepada China.
Dalam pada itu, salah seorang pelabur di Silicon Valley (Lembah Silikon) yang enggan dikenali mengakui bahawa terdapat sekurang-kurangnya 10 perjanjian urusniaga, di mana segelintir urusniaga membabitkan syarikat-syarikat di dalam portfolionya, telah terjejas kerana ia memerlukan kelulusan daripada sebuah kumpulan pelbagai agensi kerajaan yang dikenali sebagai Committee on Foreign Investment in the United States (CFIUS).

CFIUS merupakan kumpulan kerajaan yang ditugaskan untuk meneliti/menyemak pelaburan asing bagi menentukan sama ada ia berpotensi mendatangkan risiko terhadap keselamatan negara atau tidak.

Difahamkan, undang-undang baru yang ditandatangani oleh Trump meluaskan lagi kuasa agensi itu.

Walau bagaimanapun, pelabur-pelabur China dilaporkan masih memainkan peranan penting untuk membantu syarikat-syarikat AS mendapatkan akses terhadap pasaran negara itu yang amat luas.

 

 

Sumber: Reuters

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button